
Mi ‘Berulat’ Di Bazar Ramadan, Ini Yang Orang Ramai Perlu Tahu Untuk Elak Kejadian Sama Dari Berulang
Beberapa ‘menu baharu’ didapati telah berjaya menarik perhatian mereka yang sering berkunjung ke bazar Ramadan tahun ini.
Menu yang turut dikenali sebagai juadah berbuka ‘hauk’ oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tersebut adalah seperti ‘Nasi Kerabu Berulat’, ‘Ayam Goreng Recycle’, ‘Ayam Bakar Mentah’ dan ‘Tepung Pelita Berlendir’.
Turut mendapat tempat di hati pengunjung bazar Ramadan kali ini ialah ‘Kuih Limas Dengan Inti Gumpalan Rambut’ dan yang paling berjaya membuatkan ramai kembang tekak iaitu ‘Mi Sotong Bersalut Ulat’.
Sebenarnya, walau sebersih mana pun penyediaan makanan itu dibuat dan sesegar mana pun bahan mentah yang digunakan, risiko pencemaran masih ada sekiranya makanan yang dimasak panas-panas itu tidak disimpan dengan baik, tidak ditutup dan terdedah.
Seperti yang berlaku di sebuah gerai popular yang menjual mi goreng bersama sotong berharga RM30 di Bazar Ramadan Putrajaya Presint 3 yang tular di TikTok baru-baru ini.
Bukan sihir, bukan unsur mistik, bukan sebab cili jeruk, bukan keluar dari janggut sotong tetapi perkara tersebut berlaku disebabkan oleh — LALAT.
Pengguna Facebook, Abdul Muin telah membuat satu perkongsian yang sungguh bermanfaat mengenai isu ini untuk dijadikan pengajaran buat penjaja dan pelanggan bazar Ramadan di seluruh Malaysia mengelak kejadian yang sama dari berulang.
NOTA: Beliau turut menasihatkan pembaca agar jangan menggunakan Google Images untuk mencari maksud Myiasis. Anda telah diberi amaran.
Mee Sotong Bazar
1. Gapo dio namo ni? Ni nama dia Musca domestica. Sejenis lalat perumah. Suka hinggap di tempat berbau dan berhaba panas (i.e bangkai haiwan) untuk bertelur.
2. Boleh keluarkan telur dalam beberapa saat. Telur dia boleh menetas menjadi larva (ulat) dalam beberapa jam jika kena dengan suhu sekeliling (~40°C).
3. Jika tengok dalam video, saiz larva masih kecil, baru menetas, telur mungkin mencemari makanan beberapa jam sebelum. Mungkin 30 minit setelah dimasak, di mana suhu makanan menarik perhatian lalat.
4. Lalat suka suhu suam ni sebab bangkai pun keluarkan haba hasil proses penguraian bakteria. Bangkai = makanan yang banyak untuk larva lalat yang bakal menetas.
5. Bangkai juga keluarkan bau. Lalat tak reti beza bau busuk atau sedap. Sebab tu bila ada makanan berbau (petai, budu, belacan) lalat pun sampai.
6. Larva lalat biasanya tidak akan menyerang tisu hidup haiwan kecuali beberapa spesies lalat seperti Botfly yang tanam telur dalam kulit hos mamalia.
7. Namun, larva lalat boleh menyebabkan serangan Myiasis (don’t Google Images this). Tisu nekrosis pada haiwan hidup akan tarik perhatian lalat untuk bertelur dan larva menetas dan makan tisu tersebut dan sebabkan komplikasi yang lebih teruk akibat respon sistem imun dan sisa toksik hasil kumuh larva tersebut.
8. Walaupun situasi Myiasis ini jarang berlaku. Lalat sangat terkenal sebagai vektor jangkitan Tifoid, Kolera, Shigella dan E. coli. Lalat yang hinggap di bangkai haiwan, persekitaran yang kotor serta najis akan memindahkan bakteria patogenik ke atas makanan yang dihinggapi mereka.
9. Mengikut saranan KKM, pengguna diunjurkan untuk memilih premis makanan yang bersih dan menutup hidangan makanan mereka daripada terdedah secara terbuka.
10. Malah bagi yang muslim, Nabi Muhammad mengajar kita untuk menutup bekas makanan untuk mengelak daripada wabak dan gunalah walaupun batang lidi letak atas bekas makanan sebab nak suruhnya kita ini TUTUP BEKAS MAKANAN.
11. Jadi soalnya bukan pasal baru masak atau tidak. Soalnya seberapa pantas lalat boleh hinggap dan bertelur. Sekian.
Sumber: Facebook Abdul Muin