
Mereka Yang Dikuarantin Pilih Hotel 5 Bintang Perlu Tanggung Kos Sendiri
Baru-baru ini, kecoh sedikit di media sosial tentang isu hotel menempatkan mereka yang perlu dikuarantin dikatakan adalah tanggungan kerajaan.
Seorang individu berkongsi foto-foto pusat kuarantin di sebuah hotel bertaraf lima bintang yang kelihatan mewah dan cukup selesa. Ia menimbulkan perdebatan di media sosial sehingga wujud perbandingan dengan pusat kuarantin biasa di lokasi lain.
Tiada masalah tentang penempatan tersebut, tetapi ia diperbesarkan apabila ada yang mendakwa diberi duduk hotel bertaraf lima bintang dengan kos sepenuhnya ditanggung kerajaan.
Menteri Kanak (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini menafikan kononnya wujud perbezaan antara dua darjat dan sebagainya dari segi penempatan penghuni.
Jelasnya, setakat ini 45 buah hotel bertaraf tiga bintang ke atas diwartakan sebagai pusat kuarantin untuk mereka yang baru pulang dari luar negara dengan kos RM150 untuk sehari bagi setiap individu.
“Kerajaan biayai kos untuk bilik dan makan, terhad RM150 sehari. Kos lain seperti dobi ditanggung oleh individu yang dikuarantin tersebut.
“Kenapa ada empat bintang, lima bintang? Seperti saya sebut kita kenal pasti 45 buah hotel yang disenarai sebagai pusat kuarantin.
“Ada permintaan daripada mereka yang dikuarantin ingin memilih hotel mereka sendiri. Jika pilih hotel sendiri dengan bilik berbeza, mereka perlu bayar sendiri,” ujarnya.
Katanya, walaupun diberi kelonggaran, mereka hanya boleh memilih salah satu dalam 45 buah hotel yang sudah disenaraikan kerajaan sahaja.
Jelasnya lagi, kelonggaran itu dibuat kerana ada permintaan khususnya dalam kalangan diplomat asing yang kembali ke negara ini dan sebagainya.
Antara kemudahan lima bintang yang diwartakan adalah Palace of the Golden Horses di Seri Kembangan, Resort Tanjung Rhu di Langkawi, Hotel Grand Millennium di Kuala Lumpur, Hotel Hilton Kuala Lumpur dan Hotel Dorsett Grand Subang di Subang Jaya.
Ia menjadikan jumlah pusat kuarantin yang diwartakan bagi COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 472, menyusuli warta bulan lalu.
Apa yang nak disampaikan di sini, mewartawakan suatu premis hotel tidak bermaksud kerajaan akan bayar atau tanggung segala kos. Taraf lima bintang bukan kriteria utama sebaliknya pemilihan berdasarkan kemudahan wifi, tv dan lokasi hotel terletak dalam radius kilometer terjangkau dengan hospital terdekat.
Mereka yang dikuarantin di hotel ini adalah golongan yang tidak menunjukkan gejala COVID-19 tetapi diwajibkan untuk kuarantin selama 14 hari. Maka, hotel adalah salah satu yang diwartakan sebagai pusat kuarantin untuk membantu pengusaha terus beroperasi.