
Merana Dalam Senyap, Ramai Suri Rumah Sebenarnya Perlukan Bantuan Akibat Kemurungan
Agak menyedihkan kerana pada tahun 2023 ini, masih ramai rupanya yang masih tidak faham dan memandang remeh isu kemurungan di kalangan suri rumah.
Ramai yang didapati masih tidak sedar penat lelah yang perlu ditempuhi oleh seorang suri rumah dan menganggap tugasan mereka di rumah hanyalah mudah, santai dan relaks.
Seorang suri rumah, Nazia Suhaimi dari Studio CikYa telah membuat hantaran berikut di Facebooknya bagi memperbetulkan tanggapan yang salah dan sangat mengecewakan seperti yang pernah dilaluinya baru-baru ini.
Hantaran dari beliau ini juga dibuat bagi membimbing serta memberi panduan kepada golongan suri rumah yang lain di luar sana agar bangkit untuk mendapatkan rawatan sekiranya mereka turut mengalami masalah tekanan dan kemurungan.
Semoga kisah yang dikongsikannya ini dapat dijadikan iktibar dan berjaya memberi kesedaran kepada orang ramai agar lebih memahami betapa seriusnya masalah kesihatan mental di kalangan suri rumah pada hari ini.
Saya ni jarang nak kecik-kecik hati. Dah 5 tahun naik turun hospital, pernah jugalah hadap pengalaman tak best.
Hari tu saya hadir ke hospital. Macam biasa, memenuhi temu janji klinik psikiatri seperti selalu.
Bila dah sampai, kita akan letak kad temu janji. Kemudian nama akan dipanggil di kaunter pendaftaran. Semua berjalan sampai biasa sampailah nama saya kena seru timbang berat badan dan ambil tekanan darah.
Saya pun duduk. Tarik nafas kejap sambil tunggu mesin bp buat kiraan.
“Ohh sakit kemurungan dan keresahan ya” kata staff tu sambil semak dokumen saya.
“Ya” saya jawab sepatah. Semput sebenarnya sebab tadi jalan laju-laju dari parking sampai masuk klinik.
“Kerja apa kak?” tanya staff tu sekadar berbahasa-basi.
Takkan saya nak cerita saya ni tulis buku, buat kelas melukis, buat sharing sebagai pesakit mental. Tu macam membongak sangat tu. Jadi saya jawab je lah “Suri rumah.”
Terus terzahir ketawa kecil. Kedengaran seperti kelakar sangat bunyi di telinga beliau. Saya pandang ke arah beliau.
“Stress apa kak duduk rumah?” katanya lagi dengan senyuman menyindir.
Saya ni malas nak kecik-kecik hati tapi sungguhlah hat ni susah nak tepis. Terasa jugaklah hati ni.
8 tahun jadi seorang suri rumah, memang tak dinafikan banyak mata-mata memandang rendah. Mungkin sebab kami ni nampak selebet, tiak masham, kelebet anak menangis ke hulur ke hilir, pendapatan pun tak ada.
Dan isu kemurungan di kalangan suri rumah bukan isu kecil.
Ramai suri rumah merana dalam senyap. Ramai tak tahu mereka perlukan bantuan. Ramai juga tak tahu mereka boleh terima pertolongan.
Tahun lepas, statistik Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) meningkat lima kali ganda berbanding tahun 2020.
Tu belum lagi sentuh tentang 81 peratus kes bunuh diri naik pada tahun 2021 berbanding tahun 2020. Jadi kenapa isu kemurungan ni dibawa main-main? Lebih-lebih lagi melibatkan ibu-ibu yang mengurus banyak jiwa-jiwa kecil.
Itu hari ada mak cik sound saya “Belajar tinggi-tinggi, tak rasa rugi ke duduk rumah?”
Eh tak lah. Sama sekali saya tak rasa rugi.
Dengan kemajuan teknologi dan perkembangan pendidikan, para ibu lagi kena pandai bila duduk rumah. Macam mana kita nak lahirkan pemimpin kalau kita tidak menjadi pemimpin?
Para suri sekalian, janganlah kalian rasa terpencil dan seorang diri. Hakikatnya, ada jutaan suri dalam Malaysia ini (bahkan dalam dunia) melalui perkara yang sama.
Apa ibu-ibu boleh buat jika ibu-ibu rasa perlukan bantuan ialah:
- Hadir ke klinik kesihatan kerajaan ataupun klinik swasta
- Dapatkan diagnosis awal
- Jika keadaan ibu-ibu membimbangkan, doktor akan keluarkan surat untuk dapatkan temu janji di hospital pula.
- Jika berkemampuan, ibu-ibu boleh walk in terus ke hospital swasta.
- Jika ibu-ibu seperti saya, boleh dapatkan tarikh termu janji di hospital kerajaan.
- Jika ibu-ibu dalam keadaan kecemasan (seperti mahu mencederakan diri atau anak atau orang lain), boleh pergi terus ke kecemasan.
Jangan takut dapat diagnosis yang betul di tempat yang betul dan dari orang yang betul.
Berhentilah Google simptom penyakit di internet kemudian buat self diagnosed, keadaan ini hanya akan meracuni fikiran dan menyusahkan hati.
Ya, memang susah pada awalnya untuk dapatkan rawatan. Namun ini perlu. Kalau kita tak bantu diri kita, siapa lagi?
#NNS #CatatanNaziaSuhaimi #MajorDepressiveDisorder #AnxietyDisorder #10TahunBerjuang #SayaBersamaAnda #SayaPilihSembuh #KitaYangBaru
BACA: ‘Me Time’ – Ramai Yang Salah Anggap Dan Tidak Sedar Keutamaannya
Sumber: Nazia Suhaimi