Tongkat Khutbah Raya Lawak Jenaka

Menteri Hal Ehwal Agama Tegur Jangan Jadikan Tongkat Khutbah Bahan Jenaka

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Menteri Hal Ehwal Agama Tegur Jangan Jadikan Tongkat Khutbah Bahan Jenaka

Sambutan Aidilfitri pada tahun dirai dengan cara berbeza disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Hal ini membuatkan ramai kaum Adam merasai pengalaman pertama kali menjadi imam dan menyampaikan khutbah solat sunat Aidilfitri kepada ahli keluarga di rumah.

Kenangan manis yang mungkin belum pernah dirasai itu dikongsikan di media sosial semalam. Tetapi rata-rata yang dikongsikan itu, ramai tertarik dengan penggunaan ‘tongkat’ semasa menyampaikan khutbah.

Walau bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini menasihati umat Islam supaya tidak menjadikan tongkat khutbah sebagai bahan lawak, seperti yang ditular.

Beliau mengulas gelagat segelintir individu yang menggunakan pelbagai barang termasuk kayu golf, pedang ‘lightsaber’, tukul ‘Thor’ watak dalam sebuah filem antarabangsa, kayu mop serta pedang ‘gergasi’ mainan ketika membaca khutbah di kediaman masing-masing selepas solat sunat Aidilfitri.

Katanya, tiada masalah ke atas solat sunat Aidilfitri dan khutbah yang dibacakan.

“Khutbah yang disampaikan adalah baik namun kalau boleh, apa yang hendak dipegang sebagai tongkat atau lain-lain, biarlah melambangkan keseriusan dan bukan menjadi bahan lawak. Justeru, carilah tongkat walaupun hukumnya sunat memegang sesuatu ketika berkhutbah,” katanya.

Menurut beliau, solat ​​hari raya serta bacaan khutbah yang dilakukan di rumah adalah jawapan untuk penyelesaian bagi mereka yang tidak mampu solat di masjid atau surau sebagaimana ia mula menjadi kebiasaan baharu dalam beribadah dan kehidupan, dalam usaha mengekang wabak COVID-19.

Menteri Hal Ehwal Agama Langgar PKP

Berdasarkan rujukan yang dilakukan di laman web rasmi pejabat mufti Wilayah Persekutuan, sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakam bin Hazan menyatakan selain daripada beberapa syarat yang perlu dipatuhi bagi pembacaan khutbah, ulama juga menetapkan beberapa perkara sunat lain yang boleh diikuti, antaranya memegang tongkat, pedang, atau busur anak panah.

Sehubungan itu, menurut laman berkenaan, hukum memegang tongkat semasa berkhutbah adalah sunat.

“Disunatkan memegang tongkat dengan tangan kiri manakala tangan kanan memegang bahagian mimbar.

“Perbuatan tersebut bertujuan untuk menghasilkan ketenangan dalam penyampaian kepada para jemaah. Meskipun begitu, tidak ada masalah sekiranya khatib berkhutbah tanpa memegang tongkat.

“Namun dia disarankan untuk meletakkan tangan kanannya di atas tangan kiri, bagi membentuk posisi tubuh yang menenangkan atau boleh sahaja untuk khatib melepaskan kedua tangannya ke bawah semasa berkhutbah,” katanya.

Sementara itu, bagi pembacaan khutbah pula, disunatkan bagi mereka yang melakukan solat hari raya secara berjemaah di rumah, untuk imam mereka membaca khutbah raya selepas solat hari raya selesai dilakukan manakala ia tidak dituntut bagi yang melaksanakannya secara bersendirian kerana tidak ada faedah padanya.

Sumber: BH