Denda Mendera

Mengaku Salah Mendera, Hanya Denda RM20 Ribu – Penjelasannya Dari Sudut Perundangan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Sepasang suami isteri yang mengaku salah mendera anak angkatnya baru-baru ini masing-masing hanya dijatuhkan hukuman denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi.

Kanak-kanak malang yang baru berusia empat tahun tersebut sebelum ini turut dikatakan telah dipukul oleh pasangan terbabit dengan menggunakan penyangkuk baju, kayu penyapu dan kadang kala dicucuh dengan pemetik api.

Ekoran trend penderaan kanak-kanak yang semakin kerap berlaku di Malaysia sejak akhir-akhir ini, di ruangan media sosial, orang ramai menganggap hukuman ke atas pengasas produk kosmetik tersebut sebagai terlalu ringan untuk dijadikan sebagai satu pengajaran atau amaran.

Peguam Nor Zabetha dari Tetuan Nor Zabetha Chinna & Co telah mengemukakan pandangannya dari sudut perundangan mengenai hukuman denda dalam kes tersebut yang dikongsikan melalui satu hantaran di laman Facebooknya berikut:

1 Denda Mendera

Semalam kedua-dua pasangan yang mendatangkan kecederaan pada adik Alia dijatuhkan hukuman denda RM20,000 setiap seorang.

Di firma kami, bersembang tentang isu ini. “RM20,000??? Itu sahaja? Selepas mendatangkan kecederaan pada kanak-kanak? Aniaya dia? Mungkin bakal trauma. Itu sahaja?”, tanya pekerja-pekerja saya.

“Kalau bayar lepas lah mereka ya?”. Hmm. Begitulah. Memang kejam perbuatan tertuduh. Kalau ikut logik akal kita, mahu juga melihat mereka merasa sebatan yang sama seperti mana adik Alia rasakan.

Tetapi hukuman undang-undang bukan begitu, perlu dibuktikan dahulu, adakah tertuduh melakukan jenayah yang didakwa. Adakah cukup elemen pembuktiannya? Kalau kurang salah satu. Dakwaan tidak diteruskan.

Andai kata, pasangan ini tiba-tiba membela diri dengan melantik peguam. Kemudian, pembelaannya bahawa bukan dia yang mendera (walaupun jelas ada videonya yang viral), dia letakkan beban kesalahan kepada orang. Kemudian mahkamah perlu meneruskan kes untuk perbicaraan.

Ada banyak kes begini, luka anak-anak sudah berbirat pun, melecur pun, disalahkan pula anak itu mendatangkan luka sendiri. Walhal, pengabaian itu jelas dan luka-luka itu, tidak mungkin dibiarkan tanpa rawatan dengan sengaja.

Dalam kes pasangan ini, mereka didakwa bawah Sekyen 31(1)(a), Akta Kanak-Kanak 2001, penganiayaan, pengabaian terhadap adik Alia yang bawah peliharaan mereka.

Hukuman maksimum denda RM50,000 atau denda tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya. Seksyen ini juga memperuntukkan bon kelakuan baik dan beberapa jam khidmat masyarakat, tertakluk kepada apa yang diperintahkan oleh mahkamah.

Memandangkan mereka mengaku bersalah, maka sudah menjadi amalan di mahkamah zaman berzaman, pengakuan bersalah ini akan mengurangkan hukuman. Mereka telah mengaku bersalah serta merta, jadi hukuman diringankan. Denda RM20,000 seorang.

Manakala hukuman penjara ini, apabila Akta itu dibaca dengan hukuman ‘atau penjara’. Diberikan pilihan sama ada denda atau penjara. Biasanya mahkamah meneruskan dengan denda. Melainkan jika bacaannya ‘dan penjara’. Itu wajib.

Kenapa begini? Kalau saya terangkan, perlu guna prinsip undang-undang dengan laporan kes. Panjanggggg nanti. Cukup kita faham begini dulu bahawa bagi pengakuan bersalah, jika diberikan pilihan ‘atau’ kebiasaannya mahkamah memilih denda, melainkan perkataan ‘dan penjara’ kerana itu hukuman wajib.

Beza juga hukuman tertuduh mengaku bersalah yang diringankan dengan yang meneruskan dengan perbicaraan penuh dan kemudiannya bersalah. Hukumannya lebih berat tertakluk kepada fakta kes, waktu ini sama ada perkataannya ‘atau’ itu juga masih boleh dipenjarakan (tertakluk).

Lain-lain hukuman seperti bon kelakuan baik dan khidmat masyarakat media tidak laporkan. Mungkin ada, mungkin tidak.

Tetapi jika RM20,000 itu mereka gagal bayar, maka seperti diperintahkan mahkamah penjara 12 bulan. Denda ini perlu dibayar segera iaitu pada hari yang sama hukuman dijatuhkan bagi mengelakkan penjara. Andai kata, situasinya mereka gagal bayar segera, mereka akan dipenjarakan dahulu sehingga denda dibayar.

Pendakwaraya boleh membuat rayuan bagi hukuman ini, jika dirasakan terlalu ringan.

Yang pasti, kes begini, adik Alia tidak akan diserahkan semula kepada pasangan ini untuk dipelihara kerana adik Alia adalah anak angkat yang diberikan hak penjagaan kepada pasangan ini.

Proses dua tahun pengangkatan itu juga masih belum selesai. Sewaktu tempoh ini, jika berlaku penganiayaan, pengabaian, pendedahan bahaya dan pembuangan. JKM berhak tidak membenarkan proses pengangkatan ini dan adik Alia adalah kanak-kanak yang perlukan perlindungan. JKM boleh meletakkan adik Alia dalam jagaan mereka.

Benar, hukuman begitu apalah sangat yang dapat menjadi pengajaran kepada perbuatan kejam. Kita pasti tidak puas hati tetapi mengambil kira, akhirnya dia tertangkap. Akhirnya diseret ke mahkamah. Adik Alia juga tiada lagi bawah jagaan mereka. Semoga adik Alia, dipelihara oleh keluarga yang penyayang dan bertanggungjawab.

Mengambil anak angkat itu, pada pandangan saya sangat mulia dan terpuji. Memberikan kehidupan kepada seorang kanak-kanak yang memerlukan tetapi jiwa dan raga itu perlu ikhlas.

Bukan kerana trend dan ikutan. Orang ambil, kita juga ambil tetapi kita tidak dukung amanah. Jangan begitu! Kejam. Darah daging sendiri atau tidak. Amanah tetap amanah.

Oleh Nor Zabetha

BACA: Bapa Terkilan Anak Autistik Dilayan Kasar Di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Istimewa Hanya Kerana Tak Mahu Makan

Sumber: Facebook Nor Zabetha