
Mendidik Anak Dengan Cara Yang Salah, Doktor Tegur Sikap ‘Ibu Bapa Lawnmower’
Kerap berlaku sejak kebelakangan ini, banyak kisah ibu bapa yang terlalu ‘lebih-lebih’ dalam urusan dan hal yang melibatkan anak mereka.
Sikit-sikit nak sentap, gaduh dan kasi viral kononnya anak mereka teraniaya dan tidak patut diperlakukan sedemikian sedangkan ianya hanya melibatkan perkara yang remeh.
Hinggakan rambut anak tobek sebab kena potong semasa spot check di sekolah pun nak dijadikan isu seolah-olah mengharapkan simpati dari orang ramai.
Anak mereka pula didapati lebih beremosi dan stres serta kurang kemahiran mengurus diri sendiri. Adakah ini disebabkan oleh didikan sejak dari kecil oleh golongan yang disebut sebagai ‘ibu bapa lawnmower’?
Dr Redza Zainol yang sering berkongsi ilmu parenting dan kesihatan kanak-kanak di akaun Facebook, Twitter, Telegram, Instagram dan TikTok miliknya pernah memberikan penerangan mengenai sikap ‘ibu bapa lawnmower’ ini melalui bebenang kicaunya.
Jom sama-sama kita ikuti penerangan Dr Redza mengenai perangai ‘ibu bapa lawnmower’ ini.
Terpinga-pinga saya dibuatnya.
Baru-baru ni saya lihat seorang kanak-kanak perempuan di klinik.
Dah jadi rutin, saya akan uji tahap perkembangan mereka mengikut usia.
“Adik ambil pensel ni dan tolong lukiskan bulatan.”
Baru saja anak ni ambil pensel, maknya terus pegang tangan anaknya dan mereka sama-sama lukis bulatan tu.
“Eh tak apa puan, bagi dia yang buat.”
Berkali-kali saya cakap, barulah maknya lepaskan tangan anak.
Saya minta anak ni lukis garisan lurus pula.
Lagi sekali mak dia pegang tangan anak dan sama-sama lukis garisan tu.
“Puan, kita biar anak yang buat ya. Saya nak tengok cara dia pegang pensel.”
Dengan berat hati, dia biarkan anaknya melukis seorang diri.
Bila dibiar anak yang lukis, cantik je lukisan anak tu. Pandai juga dia pegang pensel.
Bila saya ceritakan pada isteri, dia kata kemungkinan besar saya dah berjumpa dengan “Lawnmower Parents”.
Mak Ayah Lawnmower
👉🏻 Mak ayah yang akan buat apa saja yang perlu untuk halang anak daripada menghadapi kesukaran, kerja yang susah atau hadapi kegagalan.
👉🏻 Mak ayah ni akan potong semua halangan hinggakan anak tak terima sebarang cabaran.
Tanda-Tanda Anda Mungkin Mak Ayah Lawnmower
🚨 Tak benarkan anak menangani konflik.
“Kakak nanti main dengan kawan yang sama je ya.”
🚨 Buat apa saja supaya anak tak didenda atau ditegur di sekolah.
“Tak apa abang terlupa. Mak hantarkan botol air dan buku yang tertinggal tu ke sekolah sekarang.”
🚨 Anda ambil alih untuk selesaikan tugasan sekolah anak.
“Apa-apa kerja sekolah, biar ayah yang buatkan.”
🚨 Anda masih menguruskan bilik anak yang lebih tua.
“Cepat pergi sekolah, biar ibu kemas bilik kakak.”
🚨 Anda tak benarkan anak tunggang basikal kerana bimbang cedera.
”Jangan main, pegang tangan ayah”
🚨 Anda sanggup berjumpa guru untuk tentukan jadual kelas anak atau bertengkar dengan guru sebab markah peperiksaan anak.
🚨 Sanggup belikan apa saja untuk anak supaya anak tak rasa ketinggalan.
Kesannya, anak tak ada kemahiran mengurus dan menyelesaikan masalah hidup.
Kajian dari University of Minnesota Institute of Child Development menunjukkan, bayi 2 tahun yang ibunya terlalu mengawal ketika bermain, tak dapat kawal emosi dengan baik ketika usia 5 tahun.
Anak tak tahu cara nak urus beban emosi seperti stress, gelisah, dan sentiasa takut gagal.
Ada masanya, kita beri ruang pada anak untuk belajar atasi konflik. Ada masanya, kita biar anak buat silap. Itu peluang untuk mereka jadi lebih kuat sebelum pergi ke alam pekerjaan.
BACA: Anak Dipuji Berkelakuan Baik Tapi Dimalukan, Tanpa Sedar Ibu Bapa Telah ‘Buka’ Aib Anak
Sumber: Twitter Redza Zainol @DrRedzaZainol