
Mencontohi Bangkok Bina Chulalongkorn Park Bagi Tangani Banjir Di Ibu Kota
Boleh dikatakan acap kali berlaku banjir kilat di ibu kota Kuala Lumpur beberapa tahun belakangan ini.
Kekerapan banjir kilat yang berlaku dan tidak bersedia telah menyebabkan orang ramai menggesa kerajaan memikirkan cara terbaik dalam menangani masalah banjir pada masa akan datang.
Mencontohi Bangkok tangani masalah banjir
Daripada menunding jari mencari salah, mungkin Malaysia perlu mencontohi Bangkok menangani isu banjir di ibu kota.
Bangkok merupakan salah satu bandar yang sering terdedah banjir di Asia. Setiap tahun, bandar raya Bangkok direkodkan tenggelam pada kadar lebih satu sentimeter dan dijangka boleh berada di bawah paras laut menjelang 2030 jika langkah proaktif tidak diambil.
Menyedari impak bencana alam, firma Landprocess milik Kotchakom Voraakhom telah membina Chulalongkorn University Centenary Park dengan konsep ‘how we live with water’ yang sudah pun dirasmikan pada Mac 2017.
Thailand pernah berdepan tragedi banjir yang paling teruk dalam sejarah pada tahun 2011. Susulan itu, pembinaan taman itu memainkan peranan penting sebagai taman yang mengumpul, membersihkan air serta mengurangkan suhu panas melampau di Bangkok.
Selain itu, fungsi penting taman itu adalah menjadi tangki simpanan air hujan ketika berlaku musim tengkujuh sekali gus mengelak banjir besar melanda Bangkok.
“Tujuan utamanya bukanlah ingin membina satu lagi taman di Bangkok, sebaliknya kita mahu memperindahkan dan mereka bentuk semula landskap bandar bagi manfaat rakyat,” kata Kotchakorn Voraakhom.
Chulalongkorn University Centenary Park yang berkeluasan 11 ekar (bersamaan 44,415 meter persegi) mampu menampung satu juta gelen atau 3.8 juta liter air.
Pembinaan taman itu mengambil dua inspirasi utama iaitu pokok hujan yang mempunyai sistem akar yang mewujudkan teduhan serta ekologi persekitaran.
Pipi monyet pula metafora kegemaran raja Thailand terdahulu bagi menjelaskan bagaimana Bangkok berjaya mengadaptasi keadaan banjir.
Pembinaan taman itu berasaskan tiga elemen iaitu bumbung hijau, tanah paya dan kolam penahanan air’
Ia direka pada kedudukan bersudut, oleh itu apabila air hujan turun di bahagian atas (bumbung hijau), ia akan mengalir ke tanah lembap sebelum terkumpul di kolam penahanan air.
Terdapat tiga tangki simpanan besar di bawah bumbung hijau yang boleh menampung 250,000 gelen air dari bumbung hijau berkenaan.
Ketika musim kemarau, simpanan air hujan dalam tangki ini membolehkan taman disiram selama 20 hari tanpa air disia-siakan.
Bagi bahagian tanah paya pula, ia bertindak sebagai penapis air apabila kawasan tumpuan kanak-kanak ini turut ditumbuhi flora akuatik yang mampu membersihkan air berkenaan.
Walaupun pwmbinaan Chulalongkorn University Centenary Park mungkin tidak mampu mengawal banjir di seluruh bandar namun ia adalah permulaan kepada masyarakat untuk berfikir mengenai tindakan selanjutnya.
Sumber: Harian Metro, Ideas.Ted