
Melampau Dan Kurang Ajar! Fesyen Pakai Songkok Separuh Bogel Ini Buat Ramai Sakit Hati
Memakai songkok tetapi diperagakan dalam keadaan separuh bogel kononnya dilakukan atas nama fesyen.
Itulah yang berlaku semasa Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2022 yang berlangsung baru-baru ini yang melibatkan seorang pereka fesyen tempatan.
Perbuatan biadab yang sengaja mengundang kecaman tersebut telah menyebabkan ramai netizen ‘panas’ setelah ianya dikongsikan oleh pengasas Empayar Pena, Hambali Idrus di Facebooknya berikut:
SONGKOK SEPARUH BOGEL
Hari ini saya terpanggil untuk menegur seorang individu berbangsa Cina bernama Kel Wen yang merupakan seorang pereka fesyen tanah air. Hal ini terkait akan koleksi yang diperagakan olehnya di Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2022.
Saya memahami bahawa fesyen merujuk kepada gaya berpakaian, kosmetik, tingkah laku dan sebagainya yang menjadi kegemaran serta ikutan ramai malah ia berubah mengikut masa.
Seringkali saya tertanya akan sesuatu fesyen yang kadangkala diperlihatkan seperti tidak masuk akal jika ingin dipakai harian dan saya akhirnya memahami fakta bahawa fesyen ini bukan sekadar apa yang dimaksudkan dengan fesyen (dari fahaman awam) malah ia suatu bentuk kesenian bagi mengekspresikan diri si pemakai, itulah seni. Jelas.
Tetapi berlainan pula kali ini, pereka fesyen ini mengenakan seluar pendek serta memakai songkok ketika memperagakan koleksi musim panas olehnya.
Sejarah
Pertama, ingin saya kongsikan apakah itu songkok pada masyarakat Melayu Islam khususnya. Selain daripada sejarah songkok ini yang diinspirasikan daripada Fez Turki, seperti yang tercatat di dalam Syair Siti Zubaidah: “..berbaju putih bersongkok merah..” juga telah menjadi pakaian rasmi diperkenan oleh baginda Sultan Abu Bakar untuk mengadaptasi Fez sebagai pakaian Melayu Johor.
Apabila kita kembali pada sejarah Fez itu sendiri, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Fez merupakan nenek moyang songkok malah ia menjadi sebahagian pakaian rasmi tentera Uthmaniyah sejak zaman Sultan Mahmud II.
Malah rekabentuk Fez pula pada asalnya adalah daripada Qalansuwah, iaitu sejenis penutup kepala yang agak keras dan menonjol yang dikenakan oleh Rasulullah ﷺ bersama-sama lilitan serban Baginda, sebagaimanan catatan Imam Ibn Qayyim رحمه الله dalam Zaad Al-Ma’ad.
Bangsa Melayu dan Islam
Pemakaian songkok ini penuh dengan maksud dan jika ingin bercakap tentang seni, ia merupakan kesenian bangsa Melayu dan Islam malah seni itu juga hadir daripada falsafah yang wujud dalam pemakaian songkok Melayu itu sendiri.
Seperti yang kita maklum, orang Melayu juga telah sepakat untuk mengenakan songkok dan menghargainya, memakainya ke tempat yang mulia seperti di masjid, surau, memakai pada majlis-majlis keraian tertentu, peristiwa tertentu dan ia mengangkat martabat songkok itu sebagai bukan sahaja indah pada falsafahnya malah turut dihargai sebagai warisan yang perlu dijaga oleh segenap lapisan masyarakat Melayu Islam.
Songkok juga terkait dengan kepandaian orang Melayu menjaga sunnah menutup kepala seperti yang dianjurkan Rasulullah SAW. Kita juga melihat bahawa songkok ini tidang lekang di kepala Sultan-Sultan di Tanah Melayu sehingga ke hari ini sebagai tanda penghargaan kepada kesenian itu. Dikenakan pula dengan pemakaian ala timur yang sopan berbaju Melayu, bersampin lalu songkok itu kelihatan sempurna pada si pemakai.
Penghinaan
Kedudukan songkok itu perlu diletakkan pada sifat yang sesuai padanya dan memperagakan songkok dengan memakai seluar pendek, lalu memperagakannya di atas pentas adalah satu bentuk penghinaan kepada songkok itu sendiri. Adakah sebagai seorang pereka fesyen, ini buah fikir yang terbaik ada pada diri anda, tidakkah berasa malu dengan ramai pereka fesyen terkenal di Malaysia yang punya idea luar biasa dalam menghasilkan koleksi musim panas?
Adakah songkok dengan seluar pendek itu melayakkan anda menjadi seorang pereka fesyen? Ini adalah buah fikiran paling tolol yang pernah difikirkan oleh seorang pereka fesyen. Pertama, kerana anda menunjukkan bahawa anda sebagai pereka fesyen, anda tidak mempunyai ilmu, tidak mengetahui asal usul dan falasafah songkok itu sendiri tetapi teringin untuk mereka fesyen menggunakan songkok.
Lemah
Kedua, anda adalah seorang pereka fesyen yang lemah berfikir kerana beratus pakaian cantik diperagakan di Minggu Fesyen Kuala Lumpur anda memilih untuk mengenakan seluar pendek dan songkok sebagai koleksi anda.
Bangsa Cina
Ketiga, saya cadangkan untuk anda memakai topi Cheongsam dengan seluar pendek kerana saya yakin ini tidak terkait dengan bangsa Melayu dan Islam malah anda sebagai pereka fesyen berbangsa Cina pasti lebih memahami akan pemakaian topi Cheongsam ini. Mungkin juga boleh diperagakan topi Cheongsam dengan seluar pendek?
Saya yakin ramai dikalangan rakan berbangsa Cina juga tidak setuju dengan penghinaan melibatkan kaum dan agama.
Mohon maaf
Keempat, saya mendesak agar anda memohon maaf akan ketelanjuran ini. Ingatlah bahawa keharmonian di Malaysia ini terbina dengan menghormati agama, budaya, kesenian malah setiap rakyat perlu menghayati maksud perpaduan agar tidak berulang peristiwa kelam asbab kurangnya hormat antara satu sama lain.
Jangan pernah terdetik untuk menyalakan api perkauman, ingatlah bahawa harimau tidak selamanya tidur dan dirantai.
Saya sertakan link Instagram pereka fesyen ini sebagai maklumat tambahan:
https://instagram.com/kel__wen?igshid=YmMyMTA2M2Y=
Sumber: Hambali Idrus
Trending now



