Murid Berhenti Sekolah Ketika Pandemik Kecewa

Maszlee Malik Kecewa Seramai 21,316 Murid Berhenti Sekolah Ketika Pandemik

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Isu keciciran murid atau berhenti sekolah disebabkan pandemik bukan perkara asing yang dibincangkan khususnya membabitkan faktor kemiskinan terpaksa dihadapi rakyat.

Perkara ini turut dibangkitkan mantan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee bin Malik menerusi akaun Twitter rasmi beliau yang meluahkan kekecewaan menerusi laporan data rekod murid berhenti sekolah sepanjang wabak tersebut.

“Semenjak Mac 2020 sehingga Julai 2021, seramai 21,316 anak-anak sudah berhenti sekolah! Apakah sudah berlaku kepada Malaysia???” ciapnya.

Menurut kenyataan Pemberitahuan Pertanyaan Bukan Lisan Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4, Parlimen Ke-14, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menjawab soalan yang diajukan oleh Tuan Noor Amin (Ahli Dewan Parlimen Kangar).

“Berdasarkan data bagi tempoh Mac hingga Disember 2020, murid yang berhenti sekolah adalah seramai 11, 301 orang atau 0.24% murid. Bagi tempoh Januari hingga Julai 2021, seramai 10, 015 orang atau 0.21% murid direkodkan berhenti sekolah.”- kata KPM.

Jumlah keseluruhan pelajar yang berhenti sekolah bagi tempoh Mac 2020 hingga Julai 2021 adalah seramai 21, 316 orang (0.22%).

Melihat kepada laporan tersebut, ia telah membangkitkan kebimbangan terutama dalam kalangan pendidik.

Namun begitu, KPM memaklumkan bahawa jumlah keciciran murid sepanjang tempoh tersebut tidak begitu tinggi jika dibandingkan pada tahun 2018 iaitu seramai 34,074 orang.

Pelitup Muka Murid Kotor
Sumber: Sabah Post

Salah siapa punca murid berhenti sekolah?

Isu yang diketengahkan ini telah membawa persoalan apakah dan siapakah menjadi punca keciciran murid ditambah pula dengan perkongsian kisah-kisah pembelajaran pelajar yang makin mencabar.

Menerusi ruangan komen, seorang pengguna Twitter memaklumkan ada pelajar tertentu terpaksa berhenti sekolah disebabkan desakan keluarga yang meminta mereka bekerja untuk menyara hidup walaupun pihak sekolah sudah memberikan kaunseling.

“Saya beritahu sendiri Dr. Bukan salah mana-mana. Di sekolah saya, mereka berhenti sebab desakan keluarga untuk bekerja, sara keluarga. Setelah dikaunseling ke apa, mereka masih tak nak ke sekolah dan pilih untuk bekerja. Jadi, pihak sekolah terpaksa setujulah,” katanya.

Memetik sumber FMT, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata seramai 445 pelajar sekolah di seluruh negara dikesan tidak menamatkan sesi persekolahan atas alasan ingin berkahwin bagi tempoh 2020 hingga kini.

Antara negeri mencatatkan kes tinggi adalah Sarawak dengan 183 kes diikuti Sabah (86), Kelantan (43), Pahang (38), Terengganu dan Perak masing-masing 21 kes. Ia diikuti Kedah (17), Selangor (12), Johor (10), Perlis dan Pulau Pinang (empat), Negeri Sembilan (tiga), Melaka (dua), dan Labuan (satu).

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Johar berpandangan, pelajar khususnya yang berada di peringkat sekolah menengah mampu menjana pendapatan sendiri antara punca isu tersebut.

Beliau berkata, segalanya bermula apabila pendapatan ibu bapa tidak menentu disebabkan pandemik COVID-19, menurut Sinar Harian.

“Ada kemungkinan mereka berhenti sekolah kerana sudah tidak minat belajar setelah mula menjana pendapatan sendiri. Dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil, mereka memikirkan untuk apa meneruskan persekolahan.

“Sedangkan pendidikan penting bukan semata-mata untuk menjana pendapatan dan membentuk kerjaya, tetapi demi ilmu pengetahuan yang lebih luas,” katanya.

Ujarnya, keadaan itu sudah tentu berkait rapat dengan kemiskinan keluarga apabila ibu bapa tidak mampu belikan peranti untuk anak-anak bagi tujuan pembelajaran di rumah (PdPR).