
Masih Tercemar, Topeng Muka Dan Sarung Tangan Jadi Sampah Baharu Di Sungai Klang
Baru-baru ini tular mengenai keadaan terkini Sungai Klang yang dikatakan telah bertukar wajah daripada berwarna ‘teh tarik’ kini menjadi jernih.
Menerusi Global Environment Centre (GEC), ia jelas dilihat perbezaan pada Sungai Gombak, Sungai Way dan Sungai Kemunsing sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pastinya khabar ini membuatkan kita gembira kerana sungai-sungai yang terkenal di warna yang tidak enak dipandang ini kembali jernih. Bagaimanapun, kegembiraan ini tidak dapat kekal lama apabila laporan terkini menyatakan topeng muka, sarung tangan pakai buang dan botol pembasmi kuman antara sampah baharu yang dilihat semakin meningkat di Sungai Klang sejak beberapa bulan lalu.
Gerbang Maritim Selangor (SMG), yang melakukan operasi pembersihan untuk Sungai Klang telah menemui topeng muka, sarung tangan dan botol pembersih di sekitar sungai.
Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Syaiful Azmen Nor, berkata sebagai syarikat bertanggungjawab menjalankan kerja pembersihan Sungai Klang, pihaknya mengesan terdapat peningkatan sampah jenis baharu dalam sungai itu.

SMG adalah anak syarikat Landasan Lumayan Sdn Bhd yang menguruskan operasi pembersihan dan pemulihan di kawasan sungai sepanjang 56 kilometer.
Walaupun barang terbuang baharu itu dianggap perlu untuk keselamatan peribadi dan kebersihan seperti dinasihati Kementerian Kesihatan (KKM) susulan COVID-19, masyarakat perlu mengamalkan kaedah pelupusan betul.
Melihat keadaan ini, ia menunjukkan sebilangan masyarakat tidak membuang peralatan pencegah COVID-19 ke dalam tong sampah tetapi dibuang merata-rata hingga boleh tercampak ke dalam longkang yang akhirnya mengalir ke sungai lalu menyumbang kepada pencemaran sungai.
Sejak November tahun lalu, agensi SMG mengutip antara 1,200 hingga ke 1,500 tan sampah sebulan di Sungai Klang.
“Ketika hujan lebat, sampah yang terbiar di tepi jalan di bawa ke longkang yang kemudian mengalir ke sungai. Kami biasanya melihat sejumlah sampah yang banyak setelah hujan lebat.”
Dalam pada itu, Kementerian Alam Sekitar dan Air sedang melakukan kajian untuk melihat kehadiran virus COVID-19 di saluran kumbahan.
Sungai kembali jernih kerana kurang kurang sisa pencemaran dari kawasan pasar, industri dan perumahan itu sangat benar tetapi pencemaran sampah baharu ini pula tidak cukup memuaskan lagi untuk mengatakan sungai negara kita semakin bersih.
Sumber: Malay Mail