Pengasas Sunquick Dan Gula-Gula Hacks

Masih Tepati Cita Rasa Rakyat Malaysia, Ini Figura Di Sebalik Jus Sunquick Dan Gula-Gula Hacks

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Jika disebut nama Datuk Seri Barkath Ali Abu Backer, mungkin ramai yang tidak kenal. Tetapi jika disebut jus Sunquick dan gula-gula Hacks, ramai yang mengenalinya bukan?

Untuk pengetahuan anda, inilah pemilik Kumpulan Barkath, syarikat yang menghasilkan gula-gula Hacks dan minuman yang menjadi pilihan utama dihidang ketika menyambut hari perayaan, jus Sunquick di Malaysia sejak berpuluh tahun lamanya.

Bermula dari kedai runcit

Pada asalnya, ayah pemilik Barkath, Abu Backer Mohd. Hussain bermula hanya dengan sebuah kedai runcit iaitu Barkath Stores di Pulau Pinang. Abu Backer membawa masuk jenama-jenama import ke pasaran tempatan.

Oleh sebab mendapat sambutan yang cukup luar biasa oleh rakyat tempatan, Abu Backer menghubungi syarikat di England dengan menyakinkan mereka yang beliau mampu menjadi ejen tunggal gula-gula Hacks di Malaysia.

Disebabkan kesungguhan beliau, pembuat Hacks, White Hudson Pte Ltd bersetuju dan melantik arwah sebagai ejen tunggal Hacks untuk Malaya dan Singapura.

Dalam tahun 1965, akibat kelewatan proses menghantar gula-gula Hacks dan juga akibat cukai yang tinggi dan persaingan harga, Haji Abu Backer telah meminta White Hudson Pte Ltd, supaya berkongsi niaga dengan Barkath Stores untuk menghasilkan gula-gula Hacks di Malaysia.

Lalu arwah menghantar anak lelakinya itu iaitu Datuk Seri Barkath ke England semata-mata untuk mempelajari teknik-teknik penghasilan dan pemasaran Hacks.

Setahun kemudian, beliau telah kembali ke Malaysia dan dengan jayanya melancarkan syarikat Hacks Malaysia Sdn Bhd.

Pengasas Sunquick Dan Gula-Gula Hacks

Kemudian Kumpulan Barakath memperkenalkan minuman Sunquick ke pasaran tempatan pada tahun 1970.

Dek kerana rasa Sunquick yang sesuai dengan cita rasa rakyat Malaysia, maka wujud permintaan tinggi sekali gus memberi peluang kepada Kumpulan Barkath untuk membina kilang bagi pengeluaran tempatan.

Pada tahun 1991, Kumpulan Barkath telah merekodkan satu lagi kejayaan apabila menandatangani kerjasama dengan Co-Ro bagi membentuk syarikat kerjasama yang dikenali sebagai Barkath Co-Ro Manufacturing Sdn. Bhd. sekali gus menjadikan mereka sebagai pengeluar rasmi Sunquick bagi pasaran Malaysia, Singapura dan Brunei.

Untuk kekal relevan dalam kalangan pelanggan seiring dengan peredaran masa, Barkath memperkukuhkan jus Sunquick dengan pelbagai perisa baharu bagi memenuhi permintaan pasaran.

Selain Sunquick dan Hacks, Kumpulan Barkath juga mengeluarkan serta memasarkan pelbagai jenama lain seperti Kikof, Barkath Foods, Agency & Classfoods.

Kini memasuki tahun ke-80 Kumpulan Barkath menjadi sebuah syarikat pembuatan terkemuka di Malaysia dengan menguasai 55 peratus pasaran dalam kategori minuman pekat.

Sumber: Kosmo, Muslim Brands

BACA: Bermula Dengan Kedai Kecil Perkakasan Rumah, Kini MR D.I.Y Dalam Pasaran Bursa Malaysia