Zeeda Aziz

Masih Diberikan Sedekah Walaupun Tak Layak Menerimanya, Bukti Rakyat Malaysia Sangat Pemurah

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Memang selalu sangat kita dengar kisah rakyat Malaysia yang sangat pemurah dan suka bersedekah, menderma serta membuat kebajikan.

Kadang-kadang timbul juga kisah-kisah negatif seperti kisah sedekah barang-barang terpakai yang sudah buruk, kisah sedekah makanan berlebihan sampai membazir dan kisah kena ‘paksa’ sedekah oleh ‘Long Tiger Jr’.

Kali ini, terdapat pula satu perkongsian kisah menarik yang dibuat oleh Zeeda Aziz di Facebooknya mengenai pengalamannya yang terkejut kerana pernah diberikan sedekah oleh seorang lelaki yang bersimpati dengannya baru-baru ini.

Menjadi seorang usahawan berjaya dan memegang jawatan penting di Pasar Kedah, Zeeda sebenarnya adalah merupakan seorang bekas pesakit kanser tulang dan juga seorang Orang Kurang Upaya (OKU).

Walaupun nilainya kecil, beliau merasakan mungkin ada yang lebih layak untuk menerima sedekah tersebut berbanding dirinya. Apa-apa pun, dengan adanya kisah seperti ini, memang ternyata dan terbukti bahawa rakyat Malaysia memang pemurah!

Semoga kedua-dua pemberi dan penerima sedekah ini dimurahkan rezeki dan kisah ini dapat dijadikan iktibar berharga buat kita semua. Diharap juga agar lelaki yang bersedekah itu dapat membaca kisah yang memaparkan tentang dirinya ini.

Zeeda Aziz

Ketika saya sedang menggunakan mesin ATM, lelaki di mesin sebelah saya bertanya:

“Kaki kenapa?”

– Oh takda apa. Sejak lahir (jawapan klasik malas sembang panjang).

“Sabar lah ye..”

– Eh takda pa lah. Orang je yang rasa susah tengok saya dengan kaki satu. Saya okey je.

Lelaki itu terdiam. Mungkin dia rasa bersalah.

Saya meneruskan urusan saya macam biasa.

….

Nah..ambik ni saya sedekah” (lelaki tu hulur RM10).

– Eh la…. Terima kasih encik. Moga dimurahkan rezeki! (Saya tak menolak sedekah, sebab pahala dapat kat pemberi).

Kemudian lelaki tu pergi ke motor kapcainya yang diletakkan sebelah kereta saya.

Saya yang dah siap urusan ni sebenarnya nak pergi kat kereta, tapi tiba-tiba saya jadi segan. Takut bila dia tahu kereta yang sebelah motor dia tu milik saya, dia akan rasa rugi sedekah. Nanti hilang pahala dia.

Maka…sambil dia masih lagi membetulkan helmet di hadapan kedai Mesra Petronas, saya terpaksalah membeli roti bun 4 bungkus dengan duit sedekah tadi supaya dia tahu duitnya tadi saya beli makanan.

Bila laki tu dah pergi, barulah saya ke kereta.

Dari Salim bin Abdillah bin Umar dari ayahnya r.a bahawasanya Rasulullah SAW telah memberi sesuatu kepada Umar bin al-Khattab. Maka Umar berkata : “Berikanlah kepada orang yang lebih fakir daripada aku.”

Nabi bersabda:

“Ambillah lalu kembangkan atau engkau sedekahkan. Sesuatu yang datang kepada mu dari harta ini sedangkan engkau tidak mengharap dan tidak memintanya maka ambillah dan sesuatu yang tidak datang kepada mu maka janganlah engkau ikutkan dirimu pada sesuatu itu.” (Muslim)

Sumber: Facebook Zeeda Aziz