
Masih Ada Yang Mohon Kebenaran ‘Shooting’, FDAM Gesa Lesen Penerbitan Syarikat Disenarai Hitam
Masih ada sesetengah syarikat penerbitan dan penerbit yang memohon untuk meneruskan penggambaran semasa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.
Susulan dengan itu, Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) mencadangkan agar Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) agar menarik balik lesen penerbitan syarikat yang masih ingkar.
BACA: Selepas 15 Tahun, Stephen Chow Sahkan ‘Kung Fu Hustle 2’ Kini Sedang Jalani Penggambaran
FDAM turut memberitahu mereka akan memboikot serta menyenarai hitam penerbit yang tetap meneruskan penggambaran tanpa kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Tetap dengan pendirian tegas dan tiada kompromi, FDAM memandang isu ini sebagai satu ketamakan sikap penerbit kerana masih ada yang tidak mementingkan isu keselamatan dan kesihatan tenaga kerja produksi sehingga sanggup mengambil risiko yang boleh meragut nyawa tenaga kerja.
Bersimpati dengan nasib yang terpaksa diterima syarikat produksi kerana terpaksa menangguhkan penggambaran, namun langkah ini terpaksa dilaksanakan selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac lalu dan akan disambung sehingga 28 April ini.
Terdahulu, kru penggambaran drama Demi yang berlepas ke Inverness, Scotland mendapat kritikan ramai selepas satu demi satu daripada kumpulan berkenaan disahkan positif COVID-19 termasuklah salah seorang pelakon, Puteri Aishah.

Yang turut disahkan positif adalah pengarah, Rahila Ali, pelakon kanak-kanak, Puteri Rayyana Rayqa, 6 tahun bersama ibunya serta beberapa kru lain termasuklah jurukamera, penolong pengarah dan kakitangan di bahagian pakaian dan solekan.
Rombongan seramai 18 orang dikatakan berlepas ke Scotland pada 9 Mac lalu, sekitar seminggu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan di Malaysia.
Pelakon lain yang turut sama terlibat dalam drama terbitan Elisa Vision Sdn Bhd ialah Ashraf Muslim, Ben Amir dan Hasnul Rahmat.
Penggambaran filem atau drama tidak termasuk dalam perkhidmatan penting kecuali penyiaran.
Sumber: Berita Harian
Trending now



