
Mark Zuckerberg, CEO Yang Dibayar Paling Mahal Untuk Kawalan Keselamatan
Pada usia 31 tahun, tidak ramai orang boleh mencapai kejayaan seperti mana dilakukan oleh pengasas Facebook, Mark Zuckerberg.
Beliau amat dikenali dengan cara hidup bersederhana walaupun mempunyai kekayaan berbilion dolar.
Satu perkara yang membuatkan kita rasa kagum apabila Zuckerberg memilih untuk tidak menerima sebarang elaun bulanan mahupun bonus tahunan dengan hanya menerima gaji asas AS$1 (RM4) sejak lima tahun lalu.
Beliau hanya menerima kemudahan menggunakan pesawat syarikat, membayar peralatan keselamatan diri dan keluarganya di rumah dan bayaran gaji pengawal peribadi.
Namun, kos berkaitan kawalan keselamatan untuk Ketua Pegawai Eksekutif Facebook ini dianggap paling mahal bagi kategori CEO.
Untuk tahun 2020 sahaja, Facebook dilaporkan membelanjakan sekitar RM95 juta (AS$23 juta) untuk kawalan keselamatan terhadap Zuckerberg.
Jumlah berkenaan meningkat dari tahun sebelumnya atas faktor terdapat ancaman keselamatan yang serius terhadap Zuckerberg dan keluarganya sepanjang tahun lalu akibat daripada beberapa faktor besar.
Antara ancaman keselamatan yang dilaporkan ialah Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat 2020, pandemik COVID-19 serta kos penggajian kakitangan keselamatan yang meningkat.
Sebagai pengasas Facebook, Zuckerberg sering kali terdedah kepada risiko ancaman keselamatan apabila berlakunya sebarang perubahan yang dianggap negatif oleh pengguna media sosial tersebut.
Harga mahal yang dibayar oleh Facebook ini meliputi perlindungan selama 24 jam oleh pegawai keselamatan yang lengkap bersenjata. Di samping itu, rumah beliau di Bay Area dilaporkan mempunyai bilik kebal yang tersendiri sebagai langkah keselamatan.
Setiap kali beliau keluar, pasukan utamanya akan memeriksa kawasan tersebut terlebih dahulu bagi memastikan ia selamat.
Sebagai perbandingan, Apple hanya membayar RM1.8 juta setahun untuk kawalan keselamatan peribadi Tim Cook. Amazon pula dilaporkan membayar sebanyak RM6.6 juta bagi keselamatan Jeff Bezos.
BACA: Nilai Kekayaan Mark Zuckerberg Kini Setaraf Bill Gates Dan Jeff Bezos
Trending now



