Marie Kondo

Marie Kondo Akhirnya ‘Menyerah Kalah’ Untuk Kemas Rumah Selepas Lahirkan Anak Ketiga

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Sejak bertahun-tahun lamanya, Marie Kondo memberi tunjuk ajar kepada orang ramai cara serta panduan untuk memastikan rumah sentiasa berada dalam keadaan yang kemas.

Kini, Marie Kondo yang mempunyai tiga orang anak khabarnya telah menemui sesuatu yang baharu yang dapat memberikan kegembiraan dalam hidupnya tanpa mengharapkan rumah untuk sentiasa berada dalam keadaan yang kemas lagi.

Semasa webinar bersama The Washington Post baru-baru ini untuk mempromosikan buku baharunya – ‘Marie Kondo’s Kurashi at Home: How to Organize Your Space and Achieve Your Ideal Life’ – guru pengemas rumah berusia 38 tahun itu mengakui bahawa dia kini agak ‘berputus asa’ dan ‘menyerah kalah’ untuk memastikan rumahnya kemas setiap masa.

Sebaliknya dia kini menyedari bahawa perkara paling penting dalam hidupnya sekarang ialah untuk meluangkan masa bersama anak-anaknya di rumah sahaja.

Marie Kondo kini mempunyai tiga orang anak hasil perkongsian hidup bersama suaminya Takumi Kawahara iaitu dua orang anak perempuan Satsuki dan Miko serta seorang anak lelaki yang dilahirkan pada 2021.

“Rumah saya tidak kemas, tetapi cara saya menghabiskan masa saya buat masa ini dikira lebih sesuai pada peringkat hidup saya kini,” katanya dalam webinar tersebut.

“Saya pernah menjadi seorang pengemas profesional sebelum ini, jadi saya masih lagi berusaha melakukan yang terbaik untuk memastikan rumah saya sentiasa kemas.

“Walaupun saya macam dah menyerah kalah, namun ia sebenarnya keputusan yang lebih baik untuk saya. Sekarang saya dah sedar apa yang lebih penting bagi saya ketika ini iaitu untuk menikmati kehidupan dan menghabiskan masa bersama dengan anak-anak di rumah,” jelasnya.

Namun demikian, perubahan tersebut tidak bermaksud dia kini tidak mahu lagi meneruskan “cara hidup” Jepun, atau kurashi.

Daripada mengemas rumahnya, Marie Kondo lebih mengutamakan perhatiannya kepada ‘mengemas’ kehidupannya.

Seperti yang dia katakan dalam bukunya, “Mengemas bermaksud berurusan dengan semua ‘perkara’ dalam hidup anda. Jadi, apa yang anda nak susun sebenarnya?”.

Marie Kondo sebelum ini amat terkenal dengan kaedah yang digelar ‘KonMari’ iaitu cara mengatur dan merapikan sesuatu di mana seseorang diajar hanya untuk menyimpan perkara yang ‘mencetuskan kegembiraan’ dalam diri mereka.

Dia pernah menerbitkan empat buku yang menerima jualan terlaris dan merupakan bintang kepada dua rancangan realiti Netflix – ‘Tidying Up with Marie Kondo’ pada 2019 dan ‘Sparking Joy with Marie Kondo’ pada 2021.

Marie Kondo

BACA: Antara Faktor Sebenar Yang Menyebabkan Orang ‘Kayangan’ Nak Jual Rumah Mereka

Sumber: TheStar