
Mari Belajar Sejarah – Malaysia Merdeka BUKAN Kerana Ratu Elizabeth II
Kehilangan Ratu Elizabeth II sememangnya dirasai di segenap pelosok dunia termasuklah juga di Malaysia.
Terdapat juga segelintir rakyat Malaysia yang berpendapat kemerdekaan negara kita juga sebenarnya adalah hasil dari ihsan dan jasa baik Ratu Elizabeth II.
Menurut seorang Penolong Profesor, Hazizie Sulkafle, dakwaan ini sebenarnya tidak boleh dipakai. Kenapa agaknya? Jom kita sama-sama ulang kaji mata pelajaran Sejarah menerusi perkongsian ringkas yang dibuat di Facebooknya berikut:
Apabila ada sebahagian di media sosial mengatakan lebih kurang – hormatilah, kalaulah bukan kerana sokongan mendiang Queen Elizabeth II, kita takkan merdeka – buat saya terkejut. Dari pihak manakah mereka mendapat naratif tersebut? (Dan mereka ini terdiri daripada pelbagai lapisan umur – remaja, belia, dewasa).
Kita merdeka bukanlah kerana mendiang. Pada tahun 1941, Piagam Atlantik telah menyebut semua kuasa besar mestilah melepaskan koloni dan tanah jajahan mereka. Tetapi apakah yang British lakukan? Selepas tamat Perang Dunia Kedua, British bukan sahaja tidak melepaskan, bahkan makin mencengkam koloni dan tanah jajahannya untuk menampung semula kos peperangan. Sebab itulah pada tahun 1946, British telah memaksakan Malayan Union di Tanah Melayu.
Kemerdekaan kita bukanlah “ihsan” mendiang. Tetapi hak kita yang telah dirampas dan dikhianati sejak sekian lama.
Awal tahun ini telah terbitkan sebuah buku bertajuk “Legacy of Violence: A History of the British Empire” oleh Caroline Elkins. Buku ini secara khusus mendedahkan kekejaman yang disebut sebagai “systematized violence” dan “legalized lawlessness” yang dilakukan oleh British untuk terus mencengkam koloni dan tanah jajahan mereka selepas Perang Dunia Kedua. Buku ini setebal 800 lebih muka surat. Itu baru era selepas Perang Dunia Kedua. Belum cerita lagi kekejaman era sebelum itu, ketika mereka mula menjajah.
BACA: ‘Miskin Simpati’, ‘Tak Habis Belajar Sejarah’ – Izwan Azir Saleh Kecam Komen Netizen
*Gambar sekadar hiasan
Sumber: Hazizie Sulkafle