Morsi meninggal dunia

Mantan Presiden Mesir, Morsi Meninggal Dunia Ketika Perbicaraan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Mantan Presiden Mesir, Mohammed Morsi, 67, yang digulingkan oleh tentera pada 2013 telah meninggal dunia di mahkamah pada Isnin.

Menurut laporan media antarabangsa, beliau pengsan selepas sesi pengadilan mengenai tuduhan pengintipan.

“Mahkamah memenuhi permintaannya untuk bercakap selama 5 minit… Dia jatuh dalam kandang tertuduh… dan dibawa segera ke hospital. Laporan perubatan mendapati … tiada nadi atau pernafasan,” kata pejabat Peguam Negara.

“Dia tiba di hospital dan meninggal dunia pada jam 4:50 petang dan tidak ada kecederaan yang baru kelihatan pada badannya.”

Morsi meninggal dunia
Sumber: Slate

Morsi tokoh tertinggi dalam Ikhwanul Muslimin digulingkan tentera Mesir pada 2013 berikutan tunjuk perasaan membantah pemerintahannya selepas setahun beliau menjadi presiden.

Beliau merupakan pemimpin pertama dan terakhir yang diundi secara bebas dan demokratik oleh rakyat Mesir di seluruh negara dalam pilihan raya Presiden 2012 selepas Revolusi Januari 2011 (fenomena kebangkitan ‘Arab Spring’) yang menumbangkan diktator sebelum itu iaitu Hosni Mubarak.

Sejak penggulingan Morsi pada 3 Julai 2013, bekas menteri pertahanannya sekarang iaitu Presiden Abdel Fattah al-Sisi melancarkan tindakan keras yang berterusan, menyasarkan penyokong Morsi dari Ikhwanul Muslimin dengan beribu-ribu daripadanya dihukum penjara dan ratusan lagi berdepan hukuman mati.

Sumber: FMT, Astro Awani