
Mansuh Hutan Simpan Kuala Langat Utara Untuk Pembangunan Bercampur?
Beberapa hari lepas, media sosial dan media massa menjadi sedikit kecoh berikutan notis iklan yang akan mengeluarkan tanah di Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang membawa maksud mansuh hutan simpan demi memberi ruang kepada pembangunan bercampur telah tular.
Menurut sumber daripada Sinar Harian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Waytha Moorthy berkata kawasan pemansuhan terbabit dikenal pasti sebagai kawasan rayau bagi empat perkampungan orang asli (KOA).
Satu mesyuarat pengurusan pusat bersama pengurusan tertinggi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dijadualkan akan diadakan pada esok hari (17 Februari) bagi mencari jalan penyelesaian berhubung kemelut berkenaan.
Empat KOA yang terlibat ialah Bukit Kecil, Bukit Cheeding, Busut Baru dan Pulau Kempas dengan jumlah penduduk seramai 1,049 orang.
Sekiranya projek ini diteruskan, Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berpendapat ianya bakal memusnahkan penebat banjir semula jadi yang mana akan membawa kepada risiko bencana alam yang lebih serius.
BACA: Orang Asli Berdemo, Kesal Dengan Tindakan MB Selangor Mansuh Hutan Simpan
Hutan Simpan Kuala Langat Utara merupakan hutan gambut yang menjalankan ‘tugas’ seakan span bagi menyerap air dan sekiranya ianya diambil (tanah), air akan bertakung dan tidak bergerak sekiranya cuaca hujan lebat berlaku.
Cadangan pemansuhan sehingga 97.2% (2,300 ekar/ 930 hektar) daripada keluasannya untuk kegunaan pembangunan bercampur dilihat sebagai keterlaluan kerana tidak berkait dengan kepentingan awam.
Tambah Meor lagi, adalah sangat jarang berlaku keseluruhan hutan simpan kekal dimansuhkan kerana kebiasaannya hanya sebahagian sahaja akan diambil.
Antara pihak lain yang menyatakan bantahan ialah Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar dan kumpulan pemeliharaan alam sekitar Pusat Alam Sekitar Global (GEC).
Sekiranya anda mahu lakukan bantahan terhadap ‘pengambilan’ ini, bolehlah mengirimkan emel kepada Tuan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor mengikut format di bawah, hasil sumbangan salah seorang pengguna Facebook, Mohd Radzi Jamaludin.
Emelkan kepada:-
[email protected]Kepada Tuan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor,
Saya, << nama penuh dan nombor ic >> dengan ini membantah terhadap cadangan untuk mengeluarkan tanah hektar dari kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang mempunyai butiran dan tujuan pengeluaran seperti berikut:
Daerah: Kuala Langat
Mukim: Tanjung Dua Belas
No. Pelan: PHN.SEL.01/98/1 Bil. (33) yang dipamerkan di Pejabat Pengarah Perhutanan Negeri Selangor dan Pejabat Hutan Daerah Pantai Klang, Tingkat 2, Bangunan Pejabat Daerah, 41000 Kelang.
Keluasan: 930.93 hektar
Tujuan: Projek untuk tujuan pembangunan bercampur
Sekian, terima kasih.
https://www.facebook.com/mohdradzi.jamaludin/posts/10221781659595183
Sumber: Malaysia Dateline, Sinar Harian, MalaysiaKini