
Manipulasi Data Doping, WADA Haramkan Rusia Di Kejohanan Sukan Antarabangsa
9 Disember lalu, Badan Anti-Doping Dunia (WADA) melalui mesyuarat di Paris telah membuat keputusan mengharamkan Rusia daripada acara sukan antarabangsa selama empat tahun selepas didapati bersalah memanipulasi data doping makmal.
Pengharaman ini menyebabkan Rusia terlepas peluang menyertai Olimpik Tokyo 2020 dan Piala Dunia 2022 di Qatar, namun pasukan bola sepak Rusia masih dibenarkan untuk bersaing di Euro 2020 dengan syarat lulus ujian doping dan tiada elemen manipulasi data.
Bukan itu sahaja, malah WADA turut mengharamkan pengibaran bendera Rusia dan lagu kebangsaan dimainkan di mana-mana kejohanan sukan antarabangsa.
Hukuman tersebut dijatuhkan selepas Rusia didapati bersalah memalsukan maklumat makmal serta memadam maklumat yang dikaitkan dengan ujian doping positif.
Tempoh masa 21 hari telah diberikan kepada Rusia untuk melakukan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara untuk sukan, dan sekiranya tidak berjaya, maka Rusia sah tak dapat bersaing dalam kedua sukan antarabangsa ini.
Akhir November lalu, panel WADA mengesyirkan agar Rusia digantung daripada menyertai semua kejohanan selepas mendakwa Moscow memalsukan data maklumat makmal yang diberikan kepada penyiasat.
Malah mereka turut membida agar Rusia dihalang daripada menganjur atau membida sebarang kejohanan sukan antarabangsa dalam tempoh empat tahun tersebut menyebabkan status Saint Petersburg terjejas sebagai salah satu venue Euro 2020.
Agensi Anti-Doping Rusia (RUSADA) juga telah digantung tiga tahun berikutan kesalahan ‘melindungi kerajaan’ dengan ratusan hasil analisa sudah dipindahkan dan fail PDF dipadam.
Sumber: BBC, Harian Metro