
Mangsa ‘Scammer’ Tabung Haji Perlu Dibayar Ganti Rugi, Bank Perlu Bertanggungjawab
Mesyuarat Bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat dan Tabung Haji yang dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim memutuskan bahawa pihak bank perlu bertanggungjawab dan membayar semula ganti rugi kepada mangsa yang terlibat dengan kes penipuan dalam talian membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH).
Menurut beliau, setakat ini sahaja jumlah kerugian penipuan dalam talian TH menerusi pelbagai institusi perbankan direkodkan sebanyak RM1.96 juta.
Wartawan Harrith Hisham dari KOSMO! ONLINE melaporkan, kejadian yang melibatkan ‘scammer’ tersebut kebanyakannya berlaku ketika mangsa membuat pengeluaran wang simpanan akaun TH melalui perbankan konvensional.
“Pihak bank bertanggungjawab menentukan kaedah dan jumlah ganti rugi jika syarat pengawasan perakaunan bank terbabit dibolosi.
“Bank perlu menangani isu kehilangan wang simpanan pendeposit supaya pendeposit tidak hilang keyakinan terhadap mereka,” jelas Tan Sri Rais Yatim dalam satu kenyataan.
Tambah beliau lagi, segala tindakan dan keputusan mesyuarat jawatankuasa tersebut akan diusulkan dalam sidang Dewan Negara akan datang.
Pihak bank konvesional itu juga perlu menyediakan laporan atau penyata ganti rugi kepada mangsa penipuan, supaya perkara tersebut dapat dipantau dari semasa ke semasa.
BACA: Isu Penginapan Hotel Di Tanah Suci: Jangan Hanya Tahu Tuding Jari, Kecam Pak Arab
Sumber: KOSMO! ONLINE