Menu Rahmah

‘Mana Rahmah?’ – Rakyat Kecewa Menu Rahmah Masih Amat Terhad Dan Sukar Diperolehi

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Tinjauan wartawan-wartawan Noor Hasliza Nusi, Abdul Rashid Abdul Rahman, Haris Fadilah Ahmad dan Luqman Ridhwan Mohamed Nor dari KOSMO! ONLINE mendapati, ketika ini orang ramai masih lagi tercari-cari premis yang menawarkan Menu Rahmah pada harga bawah RM5.

Ini disebabkan rata-rata komen yang diterima dari orang ramai mengatakan ketika ini masih agak sukar untuk mencari Menu Rahmah seperti yang diperkenalkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Di George Town, Feroz Omar, 56, berkata, setakat ini dia belum lagi menemui premis yang memperkenalkan Menu Rahmah di tengah bandar raya itu.

“Daripada 10 lokasi atau tempat makanan yang dikunjungi di pusat bandar George Town, belum ada satu pun premis yang menaikkan iklan memperkenalkan Menu Rahmah.

“Memang payah nak jumpa Menu Rahmah. Jika ada, saya memang akan ke situ, apatah lagi keadaan ekonomi sekarang yang tidak menentu,” tambahnya.

Arsyad Haris, 49, pula berharap agar kerajaan atau agensi terlibat menyenaraikan premis-premis yang menawarkan Menu Rahmah di setiap negeri bagi tujuan memudahkan orang ramai.

“Sekurang-kurangnya kami dapat merasai menu nasi lauk ayam pada harga murah berbanding asal iaitu dari RM8 hingga RM10 sebungkus,” jelasnya.

Di Kuantan, Zakaria Ahmad, 57, berkata, sehingga kini dia belum lagi terjumpa kedai yang menawarkan Menu Rahmah.

“Saya pun tidak tahu di mana kedai makan yang menawarkan menu ini kerana setiap hari saya singgah makan di kedai biasanya harga dikenakan adalah antara RM9 hingga RM12,” katanya.

Anuar Rahman, 58, dari Felda Tekam Utara di Jerantut pula berkata, dia berharap Menu Rahmah dapat diperluaskan ke kawasan luar bandar khususnya di daerah itu.

“Saya masih tercari-cari premis yang menghidangkan Menu Rahmah ketika turun berbelanja di bandar Jerantut sejak dihebahkan baru-baru ini.

“Restoran mamak di Bandar Baharu Inderapura pun tidak tahu mengenai Menu Rahmah untuk makanan tengah hari dan makan malam dan seboleh-bolehnya, restoran mamak ini perlu dipilih menghidangkan Menu Rahmah kerana ia menjadi tumpuan golongan berpendapatan rendah,” tambahnya lagi.

Di Ipoh, Siti Musliha Mohd Nur, 34, berkata, dia gembira dengan langkah kerajaan tersebut namun ia masih lagi sukar untuk didapati di sesetengah kawasan.

“Memang benar ada kedai makan yang mengambil inisiatif menjual Menu Rahmah kerana terpanggil dengan seruan kerajaan, namun jumlahnya tidak banyak.

Mohd Zaini Sulaiman, 39, pula berkata, dia telah mencuba Menu Rahmah di Pasar Raya Mydin di Meru, Ipoh, namun jarak perjalanan rumahnya untuk ke sana lebih kurang 20 kilometer dan merasakan ianya tidak berbaloi untuk dibeli.

Di Kuala Lumpur, tinjauan di sekitar Lembah Pantai, Bangsar dan di beberapa kawasan di Petaling Jaya mendapati penyediaan Menu Rahmah masih lagi amat terhad dan sukar untuk diperolehi.

Fazura Yusoff, 40, berkata, tinjauannya di sekitar kawasan Lembah Pantai mendapati Menu Rahmah masih belum disediakan di mana-mana restoran.

“Buat masa ini saya tidak tahu di mana untuk dapatkan Menu Rahmah ini, sebelum ini saya cuba dan hanya perolehinya di Subang Jaya,” ujarnya yang jelas kecewa.

Menu Rahmah

BACA: ‘Menu Rahmah’ Cetus Impak Luar Biasa, Banyak Kedai Makan Kini Mula Turunkan Harga!

Sumber: KOSMO! ONLINE