Pelajar Sabah Ke Sekolah Naik Rakit

‘Mana Pihak Berwajib?’ – Netizen Bengang Pelajar Di Sabah Bergadai Nyawa Naik Rakit, ‘Kereta Kabel’ Ke Sekolah

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Kecoh di media sosial apabila beberapa pelajar Sekolah Kebangsaan Nangkawangan, Nabawan, Sabah terpaksa bergadai nyawa menyeberangi sungai menggunakan rakit dan pengangkutan ‘kereta kabel’ buatan sendiri.

Difahamkan, kawasan tersebut disediakan jambatan gantung namun sudah terputus sejak dua bulan lalu membuatkan para pelajar ini terpaksa meredah sungai untuk ke sekolah dengan menggunakan kaedah yang dilihat amat bersiko.

Selain video tular pelajar menyeberangi sungai di kawasan itu, turut dikongsikan foto yang difahamkan jalan utama ke sekolah berkenaan dalam keadaan sangat daif dan berselut menyebabkan penduduk di situ terpaksa mengharungi sungai kecil.

“Semoga terus cekal menimba ilmu. Agar kita tahu hak hak asasi kita sebagai manusia dan juga sebagai rakyat.” tulis Zazila Roslan.

Perkongsian itu turut mendapat perhatian Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di laman Facebook miliknya. Beliau mendakwa, perkara itu berlaku apabila pendidikan tidak menjadi keutamaaan di negara ini.

“Nasib anak-anak murid apabila pendidikan itu bukan keutamaan negara. Bukan anak murid yang malas – tetapi mereka tidak ada institusi yang menyokong mereka jadi pandai dan belajar tinggi-tinggi,” katanya.

 

Pelajar Sabah Ke Sekolah Naik Rakit

Rata-rata netizen mempersoalkan jurang perbezaan pembangunan di antara Semenanjung dan kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak yang masih wujud di zaman serba moden ini.

“Ini tahun 2022, bukan zaman perang penjajah lagi. Macammana boleh sampai macam ni?”

“Memalukan sudah enam dekad kemerdekaan, masih ada yang hidup dalam situasi begini. Apa makna memiliki menara tertinggi di dunia tapi rakyat di pedalaman masih kurang akses untuk pendidikan dan pengangkutan?

“Kesiannya generasi kita…anak-anak Sabah terpaksa melalui semua ini walaupun sudah berpuluh tahun merdeka.”

Pelajar Sabah Ke Sekolah Naik Rakit

Saban tahun, pasti akan timbul isu begini, memaparkan keadaan menyayat hati di kawasan pedalaman yang amat jauh berbeza dengan pemandangan yang biasa kita lihat pada era ini.

BACA: ‘Kita Bukan 1970’ – Gambar Pelajar Meniti Jambatan Gantung Usang Cetus Kebimbangan Netizen

Sumber: Zazila Roslan, Nina Othman