
Malaysia Tuan Rumah E-Sukan Dunia Asia Pasifik Januari Depan
Fenomena sukan elektronik atau e-sukan yang menjadi kegilaan rata-rata remaja di Malaysia dilihat semakin berkembang pesat seiring dengan kebangkitan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Malah, arena e-sukan juga semakin mendapat perhatian banyak pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan yang mengiktirafnya sebagai satu bentuk sukan kompetitif di peringkat global. Ini berikutan kerajaan mahu golongan berkenaan dipupuk dan diberi bimbingan untuk diketengah serta bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Kejohanan e-sukan Dunia Asia Tenggara 2019 telah melabuh tirai pada penghujung Oktober 2019 dengan menyaksikan Filipina sebagai juara keseluruhan.
Untuk temasya E-Sukan Dunia (WESG) Asia Pasifik 2019/2020, Malaysia menjadi tuan rumah dengan disertai 260 pemain dari 58 negara yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid bermula 3 hingga 5 Januari depan.
Empat permainan e-sukan iaitu DOTA2 (Defenders of the Ancients), Counter Strike: Global Offensive (CS GO), Starcraft 2 dan Pro Evolution Soccer (PES) akan dipertandingkan untuk merebut hadiah wang tunai US$300,000 (RM1.248 juta) serta tiket ke pusingan Grand Final WESG di China pada Mac depan.

WESG merupakan inisiatif, Alibaba Sports, anak syarikat gergasi e-dagang China, Alibaba Group, manakala final WESG Asia Pasifik dianjurkan bersama dengan Esports International Group (EIG) dari Hong Kong, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan SBS Events.
Sumber: Awani