
Malaysia Terima Cadangan Guna Mata Wang Kripto Negara Islam
Semalam telah berlangsung sesi meja bulat sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 bertajuk, ‘Keutamaan Pembangunan dan Cabaran’ yang disertai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Iran, Dr Hassan Rouhani dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.
Intipati daripada sidang kemuncak itu, pemimpin utama negara Islam berpandangan supaya satu sistem kewangan Islam diwujudkan bagi mengukuhkan perdagangan dalam kalangan negara anggota selain mengelak kebergantungan kepada mata wang asing.
Presiden Iran berkata, bagi mencapai matlamat supaya negara-negara Islam mempunyai sistem kewangan sendiri dan tidak lagi bergantung kepada dolar Amerika Syarikat (AS), mereka perlu membina kerjasama dan berkongsi peluang serta kepakaran yang ada.
Beliau turut mencadangkan mata wang kripto diperkenalkan untuk kegunaan dalam kalangan negara-negara Islam sebagai mata wang alternatif untuk perdagangan.
Sementara itu, Tun Dr Mahathir juga pernah menyuarakan cadangan untuk menggunakan satu mata wang sama untuk negara Islam. Namun, ia tidak dapat diteruskan kerana mendapat banyak tentangan khususnya dari negara kuasa besar dunia.
“Jadi kita dengar kali pertama Iran dan Turki berpendapat kalau tidak guna dolar, kita boleh guna mata wang sendiri atau satu mata wang sama yang boleh dicipta kalau kita bersetuju,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mencadangkan untuk menjalin kerjasama dengan Turki dan Iran dari aspek sains dan kejuruteraan kerana kedua-dua negara itu jelas jauh ke hadapan sekali gus membuka minat Malaysia untuk menerokai peluang kemajuan yang dikecapi mereka.
“Nampak mereka amat moden dan maju ke hadapan dalam bidang ini, kita berharap dapat bekerjasama dengan mereka,” katanya.
Sumber: BH, Harian Metro
Trending now



