
Malaysia Raih Lima Pingat Emas Olimpik Khas Abu Dhabi 2019
Kontinjen Malaysia mengakhiri Sukan Olimpik Khas Abu Dhabi 2019 dengan meraih lima pingat emas, enam perak dan tiga gangsa.
Pada edisi ini, Malaysia menghantar kontinjen yang terdiri daripada 29 atlet dan 15 pegawai dan menyertai acara golf, olahraga, akuatik, bocce, boling, ekusterian dan bola sepak wanita tujuh sebelah.
Skuad golf negara mempamerkan aksi yang cemerlang di Yas Links, apabila berjaya meraih tiga emas melalui Zulhilmi Zolkiffly bagi kategori kemahiran individu lelaki divisyen 3 dan Nur Iman Izzad Md Noor dalam divisyen 5 bagi acara sama, manakala Muhammad Jumaidi Yusof dan Hadi Irfan Mohamed Rahaizah merangkul emas acara unified sports alternate shot team play, divisyen 1.
Sementara itu, Devakausalya dan Siti Rohimah Mohd Nizam masing-masing memenangi pingat perak melalui acara lompat jauh wanita divisyen F2 dan F9.

Sebelum ini, Nurasmah Mohd Shah menang pingat emas pertama Malaysia melalui acara bocce wanita individu dan diikuti Muhammad Haziq Rizal dalam acara Equestrian B1.
Kejayaan memperoleh lima pingat emas melebihi sasaran apabila Malaysia hanya menyasarkan dua pingat emas pada temasya kali ini.
Sumber: Malay Mail