
Malaysia Nafi Syarikat Top Glove Guna Buruh Paksa Seperti Yang Didakwa AS
Malaysia Nafi Syarikat Top Glove Guna Buruh Paksa Seperti Yang Didakwa AS
Siasatan Jabatan Tenaga Kerja terhadap syarikat pengeluar sarung tangan getah tempatan, Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) atas alasan menggunakan khidmat buruh paksa, mendapati dakwaan itu adalah tidak berasas.
Menteri Sumber Manusia, M Saravanan berkata Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat juga tidak berhubung terus dengan kementeriannya untuk siasatan lanjut ke atas Top Glove, sebelum melaksanakan sekatan ke atas syarikat itu.
Katanya, sebelum sekatan dilaksanakan ke atas Top Glove, pasukan petugas Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta pasukan petugas perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) menyerbu ibu pejabat Top Glove di Meru, Klang pada 13 Julai lalu.
Difahamkan, menerusi operasi itu, Top Glove didapati melanggar SOP PKPP, iaitu tidak mengamalkan penjarakan sosial di ruang kerja dan penginapan pekerja yang sesak.
“Ia bukan seperti mana yang dituduh agensi luar negara itu kerana tiada sebarang kesalahan membabitkan elemen buruh paksa dikesan,” katanya.
M Saravanan akan ke Top Glove dalam masa terdekat dan menemui wakil AS untuk membuktikan tuduhan penggunaan buruh paksa itu tidak berasas.
“Top Glove adalah keutamaan ketika ini kerana syarikat ini yang dikenakan sekatan dan didakwa menggunakan buruh paksa, jadi saya sendiri akan turun padang berjumpa mereka.”
Minggu lalu, Top Glove mengesahkan dua anak syarikatnya, Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd dikenakan larangan eksport produknya ke AS mulai 15 Julai lalu atas dakwaan menggunakan khidmat buruh paksa.
Bagaimanapun, pihaknya berkata isu itu sudah selesai dan kini hanya ada satu isu berkaitan bayaran balik yuran pengambilan pekerjanya kepada ejen sebelum Januari 2019 yang berlaku tanpa pengetahuan mereka.
Saravanan juga memberi amaran kepada agensi luar supaya tidak campur tangan secara terus, sebaliknya mereka perlu berhubung dengan kementerian terbabit untuk mendapatkan penjelasan dan mengetahui keadaan sebenar sebelum bertindak.
Tindakan CBP telah menyebabkan jualan pengeluar sarung tangan getah itu terjejas kira-kira 12.5 peratus. Berikutan itu, produk yang tidak dapat memasuki Amerika Syarikat terpaksa dieksport ke negara-negara lain termasuk Kanada, Australia dan Eropah.
Sumber: FMT