
Malaysia Ketinggalan Jauh Di Belakang Thailand Walaupun Miliki Ketum Berkualiti Tinggi Dan Terbaik Di Dunia
Nilai pasaran ubat-ubatan herba seperti ketum adalah sebanyak RM418.4 bilion pada tahun 2020 dan angka ini dijangka meningkat sebanyak 16% pada setiap tahun.
Dianggarkan pula menjelang tahun 2026 nanti, pasaran ubat-ubatan herba tersebut berpotensi untuk meningkat sehingga RM629.2 bilion.
Soalnya ialah, kenapa Malaysia tidak merebut peluang ini dan memberi kelebihan kepada Thailand untuk membolot semua hasil lumayan dari industri ketum?
Isu ini telah disuarakan oleh Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail yang menggesa kerajaan agar menggubal akta baharu khusus berkaitan penanaman dan industri ketum dalam negara dengan kadar segera.
“Apa salahnya kita gubal satu akta khusus mengenai ketum. Dengan cara itu, kita dapat kawal penggunaannya, antaranya dengan mengeluarkan lesen khas kepada pihak tertentu untuk tanam dan kemudian kita pasarkan dengan baik,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya lagi, Malaysia kini ketinggalan jauh berbanding Thailand yang telah menghalalkan industri tersebut dan mengkomersilkan ketum dalam pasaran yang amat menguntungkan.
“Kita ada ketum yang terbaik di dunia tetapi kita abaikan dengan isu remeh-temeh. Sekiranya ketum dibenar diusahakan secara sah, ia dapat meningkatkan pendapatan penduduk, malah membangunkan kawasan luar bandar yang banyak ditumbuhi pokok herba itu,” jelasnya lagi.
“Ketum yang berkualiti tinggi dan terbaik di dunia tumbuh di utara Semenanjung Malaysia, khususnya Kedah, Perlis dan Kelantan. Namun apa yang terbaik itu, kita tak benarkan dijual atau tanam untuk industri.
“Siapa yang kaut hasilnya? Thailand yang menguasai pasaran ketum di Amerika Syarikat dan Eropah, tetapi ketum dari negara kita yang diseludup masuk ke Thailand dan mereka pasarkan sebagai Thai kratom,” tambah beliau.
Dr Azman turut memaklumkan bahawa ketum bukanlah ubat perangsang yang begitu kuat seperti heroin atau morfin yang merupakan dadah sintetik berbahaya.
Kajian berkaitan ketum juga sudah dilakukan oleh beberapa institusi pengajian tinggi dalam negara seperti Universiti Sains Malaysia (USM).
“Kita tidak perlu lagi cari apa bahan aktif dalam ketum, kerana ubat herba ini boleh digunakan secara menyeluruh. Kita hanya perlu pasarkan keseluruhan daun ketum itu.
“Ia bukan sesuatu yang sukar dilakukan sekiranya negara menghalalkan industri tersebut secara kawalan,” jelas Dr Azman.
Beliau turut menjelaskan bahawa perkara tersebut telah dibangkitkan oleh pihaknya tahun lalu ketika persidangan Parlimen.
Isu ketum tersebut dibangkitkan selepas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa kerajaan untuk mengkaji membenarkan penanaman ganja jenis hemp dan marijuana bagi manfaat perubatan serta ekonomi.
Sumber: Sinar Harian