
Malaysia Ibarat Syurga Buat Pendatang Asing
Umpama berada di Dhaka, Kathamandu, dan Hat Yai apabila berjalan di tengah kesibukan kota raya.
Bermula dari persekitaran Medan Pasar dan belakang Pasar Seni, sudah mula kelihatan lautan warga Bangladesh yang menjadikan kawasan itu pusat pertemuan dengan rakan senegara dan bila menghala ke Lebuh Ampang pula, kelibat warga Nepal dan tidak kurang juga warga Myanmar, semakin ramai.
Menjadikan Malaysia diibaratkan sebagai syurga pendatang dengan lambakan kumpulan warga asing terbabit yang bukan sahaja menguasai lokasi strategik sekitar Lembah Klang termasuk ibu kota, malah bebas menjalankan perniagaan sah dan haram.
Memetik laporan Harian Metro, lokasi tumpuan pendatang seperti Kota Raya (Jalan Silang) yang dimonopoli warga Bangladesh, Chow Kot/ Jalan Raja Alang dimonopoli warga Indonesia, Selayang oleh warga Vietnam dan Myanmar, Jalan Klang Lama oleh warga Afrika, dan Cyberjaya oleh warga China dan Timur Tengah.

Tidak pasti berapa ramai yang masuk secara sah dan haram, mereka turut berani menjalankan perniagaan seperti kedai runcit, kosmetik, pusat pelacuran dan restoran menjadikan lambakan pendatang ke negara ini menimbulkan kegusaran masyarakat tempatan.
Begitu juga dengan lambakan restoran tomyam di ibu negara yang dipercayai dimiliki warga Thailand. Mereka beroperasi di sebalik lesen perniagaan warga tempatan dengan taktik bernikah warga tempatan.
Bermula sebagai tukang masak, mereka mengumpul wang untuk menyewa tapak di dalam restoran bukan sahaja disebabkan lebih murah berbanding menyewa kedai, malah tidak perlukan lesen perniagaan.
Kedai runcit pula kebanyakannya dimiliki warga tempatan tetapi ia diuruskan warga asing.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata peluang yang diberikan pemilik lesen dengan menyewakan premis kepada warga asing menjadikan aktiviti perniagaan dalam kalangan pendatang di ibu negara semakin sukar ditangani. Untuk tahun ini, DBKL sudah membatalkan 24 lesen perniagaan yang disewakan kepada warga asing.
Semua gejala ini bukanlah perkara baharu yang mudah untuk dihakis dan perkara ini sedang giat dibendung DBKL.
Sumber: Harian Metro
Trending now



