
Malaysia Hantar Pulang 150 Kontena Sampah Milik Negara Maju Seberat Lebih 3 Ribu Tan
Malaysia hantar pulang 150 kontena sampah milik negara maju seberat lebih tiga ribu tan.
Tahukah anda, Malaysia merupakan lokasi tumpuan sebagai tempat pembuangan sampah negara-negara maju yang lain?
Bermula Oktober 2018, kerajaan Malaysia telah menghentikan sepenuhnya pengeluaran lesen import (AP) plastik import selepas mendapat desakan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik supaya kerajaan mengharamkan sepenuhnya import plastik untuk dikitar semula di Malaysia.
Mei tahun lalu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin dilaporkan telah menghantar semula 10 kontena dengan berat 450 tan metrik sisa sampah ke negara asal seperti Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Arab Saudi, Jepun, China dan Bangladesh.
Hasil siasatan MESTECC mendapati sebuah syarikat kitar semula yang beroperasi di United Kingdom telah menyeludup masuk sisa sampah ke Malaysia sejak dua tahun lalu yang mana jumlah besarnya sekitar 10,000 kontena dengan 50,000 tan metrik.
Enggan membiarkan Malaysia terus dibuli, Bee Yin secara konsisten telah melakukan proses penghantaran semula sampah ke negara asal mereka walaupun ianya menjadi punca kepada ketegangan diplomatik di Asia Tenggara.
20 Januari lalu, Malaysia sekali lagi menghantar 150 kontena sisa pepejal plastik seberat 3,737 tan metrik ke negara asalnya tanpa membabitkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan.
Semua kos penghantaran semula kontena melalui tiga pelabuhan utama negara iaitu Pelabuhan Barat dan Utara Klang, Pulau Pinang serta Sarawak ini ditanggung oleh pihak pengimport atau syarikat perkapalan.
Merupakan pertama kali dalam sejarah dihantar pulang secara skala besar, Bee Yin memberitahu ketegasan menghantar pulang sisa sampah adalah wajar dalam memastikan Malaysia tidak menjadi tong sampah dunia.

Daripada 150 kontena sisa pepejal itu, ianya adalah milik:
Perancis – 40
United Kingdom – 42
Amerika Syarikat – 17
Kanada – 11
Sepanyol – 10
Hong Kong – sembilan
Jepun – lima
Singapura – empat
Portugal dan China – tiga
Bangladesh, Sri Lanka dan Lithuania – satu
Sebelum pertengahan tahun ini, dianggarkan ada 110 lagi kontena yang akan dihantar pulang yang mana ianya antaraya adalah milik negara:
Amerika Syarikat – 60
Kanada – 15
Jepun – 14
United Kingdom – sembilan
Belgium – lapan
Prosedur Malaysia hantar pulang sapah milik negara maju itu akan membabitkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pengurusan Sisa dan Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SW Corp) dan pihak berkuasa pelabuhan.
Bagi menyeragamkan prosedur aktiviti penguatkuasaaan di lapanan, kerajaan akan melancarkan Pelan Tindakan Kebangsaan Bagi Penguatkuasaan Sisa Plastik (HS 3915) bulan hadapan.
Sumber: Berita Harian, The Starits Times
Trending now



