
Malaysia Bimbang Lonjakan Kes COVID-19 Berpunca Dari Pekerja Asing, Tak Mahu Seperti Singapura
Kebimbangan Malaysia terhadap kes COVID-19 dalam kalangan pekerja asing.
Malaysia yang menutup sempadan negara, mengawal pergerakan dan mempraktikkan penjarakan sosial bagi mengekang pandemik COVID-19, kini berdepan kesukaran untuk membuka kembali ekonomi berikutan isu pekerja warga asing.
Asia Tenggara yang mempunyai kira-kira lima juta pekerja warga asing mungkin berdepan perintah berkurung lain berikutan banyak negara di rantau itu bergantung pada tenaga kerja warga asing.
Meskipun mereka diwajibkan menjalani ujian saringan dan pemeriksaan suhu, namun tempat tinggal yang sempit dan masalah bahasa mungkin menjadi kluster baharu jangkitan.
Bagaimanapun Malaysia serta Thailand tidak mahu menjadi seperti Singapura yang mengalami lonjakan kes jangkitan baharu COVID-19, akibat pekerja warga asingnya tinggal di asrama yang sesak.
Lonjakan kes virus berbahaya di Singapura sejak penghujung April mengejutkan seluruh dunia, bahkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terpaksa menelan kembali pujian melambung mereka terhadap republik itu.
Malah kes di Singapura telah melepasi Indonesia dan Filipina.
Menurut Pengurus Kumpulan Pekerja Asing Thailand, Adisorn Keadmongkol, negaranya akan berdepan lonjakan kes jangkitan COVID-19 seperti berlaku di Singapura jika tidak lebih berhati-hati dalam mengambil tindakan melonggarkan sekatan.
Sementara itu, saringan COVID-19 di bawah program Saringan Prihatin (PSP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan memberikan keutamaan kepada pekerja asing dalam sektor binaan dan industri kawalan keselamatan yang beroperasi di Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Sehingga semalam, Malaysia mencatatkan lebih 6,700 kes COVID-19 dan Thailand pula merekodkan kira-kira 3,000 jangkitan menurut data daripada Johns Hopkins University.
Justeru Malaysia dan Thailand yang kes jangkitan semakin terkawal bimbang kembalinya pekerja warga asing ke dalam industri akan membawa kluster jangkitan baharu, walaupun permintaan terhadap buruh luar itu dijangka tetap meningkat.
Sumber: BH