Rohingya Bangladesh Tak Terima

Malaysia Bertegas Mahu Pulangkan Semula PATI Rohingya, Tapi Bangladesh Tolak

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Seramai 269 pendatang tanpa izin (PATI) Rohingya yang cuba menceroboh perairan Langkawi ditahan pada awal pagi Selasa dilaporkan akan dihantar semula ke Bangladesh.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kementerian Luar berbincang dengan wakil kerajaan Bangladesh untuk penghantaran etnik Rohingya ke negara berkenaan yang ditempatkan di Pulau Bhasan, iaitu penempatan sementara pelarian berkenaan.

Katanya, kerajaan terpaksa bersikap tegas kali ini selepas beberapa cubaan masuk ke negara ini oleh etnik itu mendapat kecaman daripada beberapa negara lain.

Beliau turut menafikan Malaysia berlembut dalam soal pelarian Rohingya yang menceroboh perairan negara. Katanya, tindakan yang diambil anggota keselamatan dan penguat kuasa di perairan negara dekat Pulau Langkawi kelmarin, atas sikap perikemanusiaan.

Bot yang membawa pelarian itu dikesan di perairan negara dengan sengaja dibocorkan, krew merosakkan enjin dan membiarkan air masuk dalam bot. Sebahagian pelarian terjun ke laut, dan atas dasar kemanusiaan anggota keselamatan terpaksa menyelamatkan pelarian berkenaan.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Luar Negeri Bangladesh, AK Abdul Momen kepada Agensi Berita Anadolu, bertegas bahawa tiada kewajipan kepada negara itu untuk membawa pulang kesemua pelarian tersebut.

“Bangladesh tidak akan mengambil mereka. Bangladesh tidak berkewajiban atau dalam posisi untuk mengambil Rohingya lagi,” katanya kepada agensi berita.

Ismail Sabri memberitahu media bahawa Kementerian Luar Negeri akan meminta Dhaka untuk mengambil kembali pelarian mereka sekiranya mereka didapati melarikan diri dari kem di Daerah Tenggara Bangladesh, Cox’s Bazar di mana menempatkan lebih dari satu juta pelarian Rohingya.

Rohingya Bangladesh Tak Terima

Sebagai jawapan kepada isu tersebut, Momen menyatakan pendirian Bangladesh untuk tidak menerima permintaan daripada Malaysia.

“Rohingya bukan warganegara Bangladesh. Mereka adalah penduduk Myanmar selama berabad-abad,” tambahnya.

Beliau juga meminta negara-negara lain untuk berkongsi beban berkenaan penempatan pelarian Rohingya dan bukan hanya memberi tekanan kepada Bangladesh.

Dalam kenyataan itu juga, mereka mengalu-alukan negara lain untuk mengambil etnik Rohingya.

“Daripada meminta kami memberi perlindungan kepada mereka, kami mengalu-alukan kepimpinan dan organisasi global untuk memindahkan 1.1 juta Rohingya yang dianiaya dan kini terlindung sementara di Bangladesh.”

Buat masa ini terdapat 35 pelarian Rohingya di kem pelarian tersebut disahkan positif COVID-19 dan dirawat di pusat pengasingan, diikuti dengan tiga kematian.

Sumber: Bernama, BH