Malaysia Airlines Diambang Kejatuhan, Bakal Diganti Firefly Sebagai Syarikat Penerbangan Nasional

Malaysia Airlines Diganti Firefly Penerbangan Nasional

Malaysia Airlines kini diambang kejatuhan selepas kerajaan tidak akan menyuntik dana lagi kepada syarikat penerbangan yang menjadi lambang prestij negara kita dan kini ia bergantung sepenuhnya kepada pemilik tunggal, Khazanah Nasional Bhd.

Menurut sumber Berita Harian, Khazanah Nasional Bhd mempunyai pilihan untuk menyalur modal kepada Firefly sekali gus menjadikannya sebagai syarikat penerbangan nasional dalam memenuhi keperluan pengangkutan udara negara jika Malaysia Airlines terpaksa ditutup.

Ia adalah pilihan yang terakhir dipertimbangkan sayap pelaburan kerajaan itu sekiranya rundingan dengan pemiutang dan pemajak pesawat tidak tercapai dengan baik bagi memulihkan Malaysia Airlines.

Buat masa ini, rundingan dengan pemiutang dan pemajak pesawat masih berjalan, menurut Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Katanya, Khazanah bersedia untuk menamatkan pembiayaan untuk Malaysia Airlines dan sebaliknya, akan membiayai Firefly untuk mengembangkan operasinya bagi tujuan memenuhi ketersambungan yang diperlukan negara.

Tambah beliau, jika dilaksanakan dengan jaya, Firefly berpotensi untuk menjadi syarikat penerbangan kebangsaan dan mengakui akan terdapat pihak berkepentingan yang mungkin terkesan.

Sekiranya Khazanah terus membiayai Malaysia Airlines yang tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan sering mengalami kerugian, Khazanah akan terpaksa melupuskan pegangannya dalam aset strategik yang lain atau menambah hutang.

Malaysia Airlines yang pernah menjadi syarikat penerbangan terbaik dunia mengalami bebanan kerana tidak mampu untuk mendapatkan keuntungan sejak diswastakan pada tahun 2014.

AirAsia Ambil Alih Malaysia Airlines

MAS, isu yang sering dibangkitkan

Isu untuk memulihkan syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines Bhd dan menjadikannya kembali menguntungkan bukan sesuatu perkara yang baharu.

Bahkan, ia telah lama menjadi tanda tanya dalam industri penerbangan tempatan dan antarabangsa, sehingga ada yang sudah jelak dan ragu-ragu ‘bila boleh untung’?

Untuk rekod, syarikat penerbangan kebangsaan Australia, Qantas Airlines Ltd pernah bercadang untuk mengambil alih Malaysia Airlines sedekad yang lalu namun tidak berjaya berikutan tekanan yang diberikan oleh pihak kesatuan pekerja.

Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia juga hampir menjalinkan perjanjian pertukaran saham dengan Malaysia Airlines pada tahun 2011 namun krisis dan campur tangan dalaman Malaysia Airlines dikatakan menjadi punca kepada kegagalan berkenaan.

Selain itu, punca MAS terus rugi kerana masalah pengurusan tertinggi yang dikatakan ‘kurang cerdik’ dalam menguruskan syarikat itu.

Sumber: BH, HM