Malaysia Airlines Berisiko Bankrap Ekoran Penularan COVID-19

Malaysia Airlines Berisiko Bankrap

Syarikat penerbangan Malaysia Airlines berkata, larangan perjalanan dan permintaan yang merosot di seluruh dunia yang berpunca oleh pandemik Covid-19 telah meletakkan syarikat penerbangan negara di sini berisiko bankrap.

Menurut The Edge yang memetik laporan Ketua Pegawai Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) Boo Hui Yee memberitahu 13,000 pekerja Malaysia Airlines bahawa syarikat penerbangan kebangsaan itu tidak berbeza daripada banyak syarikat penerbangan di seluruh dunia kini berisiko muflis.

“Keadaan ini telah merosot dengan drastik pada hujung minggu yang memaksa sekatan perjalanan ketat oleh kerajaan di seluruh dunia, dengan itu menimbulkan cabaran yang lebih besar dalam operasi kami.

“Permintaan telah merosot dan ramai telah membatalkan tempahan, meletakkan kami dalam keadaan kritikal. Banyak syarikat penerbangan sekarang berisiko bankrup dan Malaysia Airlines tidak terkecuali,” katanya.

Minggu lepas, syarikat penerbangan itu menawarkan pilihan cuti tanpa gaji kepada 13,000 kakitangannya berkuatkuasa bulan depan. Kakitangan diberi pilihan secara sukarela untuk mengambil cuti selama lima hari tanpa gaji dalam tempoh sebulan sekurang-kurangnya tiga bulan atau satu hingga tiga bulan.

Langkah itu dibuat selaras dengan pengurangan operasi susulan pengurusan kapasiti bagi menangani permintaan lemah perjalanan udara akibat Covid-19. MAG juga melaporkan akan mengurangkan 10 peratus gaji serta elaun pengurusan kanan semua syarikat di bawahnya selama tiga bulan bermula bulan ini.

Malaysia Airlines Berisiko Bankrap
Sumber: The Straits Times

Selain Malaysia Airlines, MAG adalah syarikat induk kepada Firefly; MASwings; MAB Kargo; AeroDarat Services Sdn Bhd; MAB Academy; perkhidmatan catar penerbangan umrah dan haji, Amal; perkhidmatan penyelenggaraan MAB Engineering dan pajakan pesawat.

Beberapa syarikat penerbangan serantau telah mengambil langkah bagi menangani kesan kelembapan permintaan perjalanan udara.

Singapore Airlines (SIA) memotong gaji pengurusan kanan sebanyak 10 hingga 15 peratus bermula 1 Mac lalu dan menawarkan skim cuti tanpa gaji sukarela kepada pekerja.

Malindo Air pula akan mengenakan potongan gaji 50 peratus ke atas kakitangannya sebagai tambahan kepada dua minggu cuti tanpa gaji untuk menampung impak pandemik itu.

Syarikat penerbangan Australia, Qantas menjalankan langkah membendung kos operasi perniagaannya dengan menggantung kebanyakan angkatan pesawat penumpang Airbus A380.

Qantas dan cabang syarikat penerbangan tambang rendahnya, Jetstar akan mengurangkan penerbangan antarabangsa sebanyak 25 peratus untuk tempoh enam bulan akan datang, terutama bagi laluan ke Asia dan Amerika Syarikat (AS).

Sumber: Malay Mail, BH