
Malang Tidak Berbau, Ibu Bapa Perlu Sentiasa Ada Rasa Paranoid Terhadap Anak Mereka
Para ibu bapa wajar mempunyai sedikit sifat risau, rasa paranoid atau curiga yang munasabah yang mungkin dapat menyelamatkan serta mengelakkan dari terjadinya kejadian buruk yang tidak dapat dielakkan berlaku ke atas anak mereka.
Sesungguhnya, kemalangan itu memang tidak dapat dijangka dan segala-galanya adalah merupakan ketentuan Tuhan, namun sikap lebih peka dan berhati-hati dilihat sangat wajar dipupuk di kalangan ibu bapa pada hari ini.
Mengambil beberapa contoh kejadian malang dan situasi buruk yang kerap berlaku kebelakangan ini, peguam Nor Zabetha telah membuat hantaran berikut di Facebooknya bagi mengajak orang ramai untuk sama-sama lebih berwaspada dan memperingati di antara satu sama lain demi keselamatan bersama.
Ibu bapa kena selalu ada rasa paranoid. Bukan yang jenis keterlaluan tetapi yang munasabah. Paranoid dan curiga yang munasabah itu, barangkali dapat elak beberapa perkara.
Selalu kita dengar ‘malang tidak berbau’. Memang benar, kecelakaan selalu datang dalam keadaan yang paling kita tidak jangka atau sewaktu paling kita selesa dan tidak menjangkakan sesuatu yang buruk akan berlaku. Kita anggap semuanya bakal indah atau tidak mengikut rutin.
Saya baca tentang kes anak yang meninggal dunia kerana kebakaran sewaktu ibu dan bapa keluar dari rumah sekitar jam 3 pagi. Saya juga membaca nasihat yang diberikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Menteri berpesan bahawa ibu bapa perlu jaga dan mengawasi anak dan sekiranya ibu bapa mengabaikan anak-anak tanpa pengawasan yang wajar, boleh didakwa bawah 33(1) Akta Kanak-Kanak 2001. Nasihat yang baik.
Benar. Kita ada undang-undang. Tujuan undang-undang untuk menghukum pelaku yang melakukan kesalahan dan sebagai pengajaran kepada yang lain supaya tidak melakukan perkara yang sama.
Tetapi bila bab keselamatan diri dan nyawa, ianya tidak akan mengembalikan sesuatu atau ‘undo’ perkara yang sudah berlaku. Malang sekali.
Undang-undang yang berkaitan tentang nyawa dan keselamatan anak-anak ini bukanlah bersifat ‘restitution’ iaitu mengembalikan kepada yang asal. Tidak sama macam kes hutang. Contoh kalau tuntutan hutang. Kalau menuntut di mahkamah, segala tuntutan hutang dikembalikan dengan kos. Mangsa mendapat semula apa yang dituntut.
Berbeza dengan hal anak ini. Misalnya jika ada hukuman pada pelaku contoh dalam kes gangguan seksual atau cabul, pesalah akan dihukum tetapi kesan dan akibatnya tetap kekal pada mangsa. Situasinya masih tidak sama. Kesan dan akibat tetap berlaku.
Jadi ibu bapa, saya minta tolong dan simpan dalam diri untuk ada sedikit rasa curiga dan paranoid yang munasabah. Sifat begini kadangkala jadi penyelamat untuk perkara yang mendatang.
Misalnya kalau ada anak kecil di rumah, selalu peka dan berhati-hati. Alatan tajam, simpan. Tempat takungan air, tutup. Mana-mana barang elektrik dan pengecas telefon jangan dibiarkan menyala tanpa pemantauan. Manalah tahu..
Kalau ada anak remaja perempuan, jangan dibiarkan bebas bergaul, keluar lewat malam dan berpeleseran. Kebebasan jangan diberikan keterlaluan sehingga kita sendiri menyesal kelak. Manalah tahu..
Kalau ada anak kecil yang tidak mampu mengendalikan diri sendiri dan masih percaya pada semua orang, jangan dibiarkan berjalan ke kedai seorang diri. Manalah tahu diculik, manalah tahu dicabul, manalah tahu dianiaya dengan kejam.
Kalau ada anak janganlah dibiarkan dengan telefon bimbit 24 jam tanpa pengawasan, manalah tahu berjinak-jinak dengan video tidak senonoh dan jadi pemangsa seks atau manalah tahu jadi mangsa seks oleh golongan pedofilia. Dunia sekarang makin gila.
Kalau ada anak kecil jangan dikunci di rumah dan ditinggalkan sendirian. Manalah tahu berlaku kebakaran, gas bocor dan lain-lain.
Sewaktu kita memutuskan untuk mempunyai anak, maka bermula tanggungjawab kita dari hari anak dikandungkan, dilahirkan sehingga dia dewasa selama 24 jam seminggu tanpa henti. Kontrak mati.
Bunyi memang penat tetapi manisnya menjadi ibu bapa walaupun ‘kontrak’ tanggungjawab yang kita ikat itu umpama tiada penghujung. Kasih sayang tanpa sempadan. Mereka adalah amanah dan amanah itu, perlu dijaga sebaiknya.
Tidak tergambar perasaan semua mereka yang terlibat dan keluarga mangsa. Penyesalan yang tiada penghujung.
Jadi tolong, saya minta kita semua ambil pengajaran bahawa malang itu tidak berbau. Jaga amanah kita. Sentiasa waspada.
Oleh Nor Zabetha
BACA: Gurauan Melampau Kanak-Kanak Yang Harus Dipantau Segera Oleh Ibu Bapa
Trending now



