Taktik Peniaga Durian Kenderaan Mewah

Makin Mewah Kenderaan, Makin Mahal – Taktik Licik Segelintir Peniaga Durian

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Makin Mewah Kenderaan, Makin Mahal – Taktik Licik Segelintir Peniaga Durian.

Sempena musim durian, boleh dikatakan topik berkaitan durian paling banyak dibualkan ketika ini.

Selain jenis durian dan harganya, topik tumpuan yang berkaitan durian ialah proses jual beli menggunakan timbangan. Peniaga durian yang menipu dengan menggunakan alat timbang dan sukat yang tidak sah, dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972.

Pihak KPDNHEP tidak mengawal harga bagi komoditi durian, namun peniaga wajib mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan daripada segi penandaan harga.

Namun begitu, ramai yang mulai mengadu dengan harga durian yang agak mahal, tambah lagi jika peniaga tidak meletakkan tanda harga.

Memetik laporan Harian Metro, ada peniaga yang menjadikan kenderaan pelanggan yang singgah sebagai kayu pengukur untuk meletakkan harga pada raja buah yang dijual.

Misalnya, jika pelanggan yang singgah itu menggunakan kenderaan jenis mewah, maka harga durian yang dijual juga akan menjadi lebih mahal dan begitulah sebaliknya.

Faktor itu dipercayai menyebabkan mereka tidak meletakkan tanda harga pada produk jualan mereka walaupun mengetahui ia kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Pahang, Ahmad Fitri Ali, harga durian naik dua hingga tiga kali ganda apabila pelanggan yang singgah menggunakan kenderaan mewah, mereka sanggup berbuat demikian bagi mengaut keuntungan berlipat ganda.

Taktik Peniaga Durian Kenderaan Mewah
Gambar Hiasan Berita Harian

Disebabkan ada permintaan tinggi terhadap raja buah ini, maka pelanggan terpaksa berhadapan dengan harganya yang kadang kala tidak masuk akal.

BACA: Pemilik Dusun Durian Bergelar ‘Orang Kaya Baharu’ Mampu Raih Pendapatan Hingga Ratusan Ribu Ringgit

Justeru bagi memastikan peniaga tamak tidak terus mengambil kesempatan, KPDNHEP sentiasa melakukan pemeriksaan terhadap semua pusat jualan durian tepi jalan di sekitar Pahang.

Kompaun dikenakan sebanyak RM1,000 mengikut Perintah 3(1) Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993, sekiranya peniaga yang gagal mempamerkan tanda harga.

Bagi mengelakkan ini daripada terus berlaku, anda boleh membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sekiranya peniaga tidak mempamerkan tanda harga atau disyaki menggunakan penimbang yang tidak ditentusah.