
“…Maka Berkatalah Yang Baik Dan Jika Tidak Maka Diamlah” – Renungan Buat Warganet
Ramai warganet dilihat sangat beremosi sejak akhir-akhir ini dalam apa jua perkara yang menyentuh atau melibatkan negara Thailand.
Dari makanan Thai, perlawanan bola sepak dengan Thailand sehinggalah kisah rumah tangga dan pernikahan di Siam yang melibatkan selebriti popular tanah air.
Namun, tanpa kita sedari, perbuatan seperti mengejek, menyindir dan mendoakan perkara yang tidak baik ke atas rumah tangga seseorang sebenarnya merupakan satu kelakuan tidak bermanfaat dan dikhuatiri boleh melampaui batas agama.
Pendakwah bebas, Ustaz Firdaus Wong telah membuat hantaran berikut di Facebooknya, Firdaus Wong Wai Hung – Official bagi sama-sama berpesan di kalangan umat Islam dan memperingati di antara satu sama lain mengenai gejala yang membimbangkan ini.
Semoga kita semua memperolehi kesedaran dan keinsafan. Insya-Allah. Ameen.
[Tanda Kebaikan Islam Seseorang]
Beberapa hari ini, kecoh di medsos tentang hal rumah tangga seorang pengarah dan pelakon terkenal. Saya mengucap panjang melihat komentar warganet. Sindiran, ejekan, kejian malahan doa yang tidak baik kepada mereka yang terlibat.
Namun sebelum kita menulis dan berkata-kata, pernahkah terlintas peringatan dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam ini?
“Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhir, maka berkatalah yang baik dan jika tidak maka diamlah.”
(HR. Bukhari no. 6018 dan Muslim no. 47)
Bukan itu sahaja, tiada manusia yang sempurna tetapi antara tanda baiknya Islam seseorang adalah meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat untuk kita;
“Di antara kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan hal yang tidak bermanfaat”
(HR. Tirmidzi no. 2317)
Apakah dengan warganet sindir, ejek, mengeji dan mendoakan perkara yang tidak baik kepada mereka itu sesuatu yang bermanfaat untuk dunia dan akhirat mereka?
Apabila terjadinya masalah rumah tangga orang lain, kita sebagai orang luar tiada hak untuk komen dan mengadili siapa yang betul dan siapa yang salah MELAINKAN KITA TAHU A-Z (SEGALA-GALANYA).
Nabi Sallalahu Alaihi Wasalam sendiri pun tidak akan memberikan sebarang kata putus tentang suatu pertikaian rumah tangga sahabat Radiyallahuanhum sehingga mendengar dari kedua-dua pihak.
Apakah warganet lebih hebat pemahaman dan amalan agamanya dari Baginda Sallalahu Alaihi Wasalam sehingga berani memberikan komentar dan memutuskan siapa yang betul dan siapa yang salah dalam isu rumah tangga mereka?
Bukankah lebih baik kita sebagai orang luar mendoakan sahaja kebaikan untuk rumah tangga mereka?
Apakah kita suka apabila (Nauzhubillah) rumah tangga kita bermasalah dan orang luar yang tidak tahu apa-apa masuk campur dan komen macam-macam? Yang kahwin itu adalah mereka, dan yang ada masalah itu adalah mereka tetapi cara komen warganet seperti itu masalah mereka.
Lebih merisaukan saya apabila ramai yang sangat beremosi dalam komentar sehingga tidak sedar atau tidak sengaja telah melampaui batasan agama dan menyindir syariat Islam!
Peringatan untuk diri saya dan sahabat-sahabat semua, sebelum kita menyibuk dengan urusan rumah tangga dan kehidupan peribadi orang lain, ayuh kita bertanya pada diri kita apakah telah cukup baik amalan diri kita sehingga sanggup membazir masa melakukan sesuatu yang tidak memberikan sebarang manfaat dunia dan akhirat kecuali memenuhi hawa nafsu serta emosi kita?
Ibnu Rajab berkata,
“Jika seseorang meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat, kemudian menyibukkan diri dengan hal yang bermanfaat, maka tanda baik Islamnya telah sempurna”
(Jaami’ul ‘Ulum wal Hikam, 1: 295).
Jikalau kita melakukan amar makruf nahi mungkar, maka itu adalah perkara yang bermanfaat tetapi apakah komentar kita itu adalah amar makruf nahi mungkar atau sebenarnya amar mungkar nahi makruf?
Semoga Allah kurniakan taufiq dan hidayah buat kita semua untuk menjadi Muslim yang lebih baik. Allahuma Ameen.
BACA: 3 Dosa Yang Golongan Suami Perlu Sedar Kerap Dilakukan Oleh Mereka Pada Hari Ini
Sumber: Firdaus Wong Wai Hung – Official