
Majlis Pengguna Hong Kong Dedah Beberapa Jenama Biskut Kegemaran Ramai Ini Boleh Jadi Penyebab Kanser
Beberapa Jenama Biskut Kegemaran Ramai Ini Boleh Jadi Penyebab Kanser.
Kalau duduk depan televisyen atau mahu sarapan atau minum petang yang ringkas, biasanya biskutlah yang menjadi pilihan kita, bukan?
Lazimnya, apabila hendak melakukan rutin diet pemakanan, biskut kraker menjadi pilihan kerana didakwa jenis makanan ini adalah rendah kalori dan mengandungi nutrien berkhasiat seperti yang diiklankan.
Namun, persepsi anda selepas ini mungkin berubah apabila Majlis Pengguna Hong Kong baru-baru ini mendedahkan hasil ujian mereka menemui penyebab kanser dalam 60 sampel biskut dan kraker yang popular dijual termasuk di pasaran Malaysia.
Biskut-biskut ini dilaporkan mengandungi karsinogen yang disebut glisidol atau akrilamida yang terkandung di dalamnnya.

Karsinogen ialah bahan-bahan yang boleh menyebabkan pertumbuhan kanser dalam sel dan tisu hidup. Ini disebabkan kebolehan bahan-bahan ini untuk merosakkan DNA atau mengganggu proses metabolik sel.
Dalam laporan itu, ada antara produk makanan yang mempunyai 620 g/kg akrilamida iaitu hampir dua kali ganda daripada had selamat. Pihaknya mendakwa glisidol dan akrilamida dihasilkan dalam pemprosesan biskut suhu tinggi.
Sebanyak 60 sampel biskut itu, dilaporkan lima jenis jenama yang sering menjadi kegemaran ramai Malaysia turut tersenarai seperti Hup Seng Special Cream Crackers, Ritz Crackers Cheese Flavoured Sandwich, Jacob’s Original Cream Crackers 93% Wheat Cereal dan Oreo Mini Oreo Original.

Sementara itu, 40 peratus daripada sampel biskut itu membawa label pemakanan yang mengelirukan. Majlis menekankan ia adalah maklumat penting bagi pengguna, terutama mereka yang mempunyai penyakit jangka panjang seperti diabetes dan penyakit jantung.
Bagaimanapun, Majlis pengguna itu menyatakan tiada salahnya jika mahu makan biskut-biskut ini tetapi perlulah mengikut kawalan.
European Food Safety Authority (EFSA) menyatakan orang dewasa hanya boleh mengambil sehingga lapan keping biskut, manakala kanak-kanak berumur lima tahun boleh mengambil tiga keping biskut untuk kekal dalam pengambilan harian yang disyorkan.
Dalam pada itu, Majlis pengguna juga menggesa pengeluar untuk meningkatkan pengeluaran dan mengurangkan kadar bahan cemar, lemak, gula, dan natrium dalam produk mereka.
Sumber: Consumer Council, FMT, SCMP