Mahasiswi Ini Raih Pendapatan RM100,000 Sebulan Dengan Jual Perabot Terpakai

Mahasiswi Jual Perabot Terpakai
Sumber: Sinar Harian

Melakukan sesuatu pekerjaan bukanlah satu perkara yang asing bagi mahasiswa dan mahasiswi universiti pada masa ini.

Tak kira di universiti awam atau swasta, sejak dahulu lagi ada mahasiswa yang menggunakan masa lapang mereka dengan melakukan pelbagai pekerjaan secara sambilan.

Tambahan pula, hanya kuliah dalam talian sahaja sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menyebabkan pelajar boleh mengambil peluang dengan masa yang ada diisi dengan kerja sambilan.

Sekali gus membekalkan pengalaman bekerja sebelum memasuki industri pekerjaan yang sebenar.

Mahasiswi jual perabot terpakai

Seperti mahasisiwi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam ini, beliau kini menceburi bidang perniagaan dengan menjual perabot terpakai.

Perniagaan yang diusahakan usahawan muda, Arliya Munif sejak 2017 menggunakan nama Perabot Berkualiti Kedah itu kini menjadi perhatian penduduk setempat kerana menawarkan perabot terpakai pada harga mampu milik.

Bermodalkan RM1,500, Arliya yang menuntut dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan Keusahawanan memulakan perniagaan dengan membuka kedai di Jeniang, Kedah dan kini mampu mencipta jualan mencecah RM100,000 sebulan.

Katanya, mula menceburkan diri dalam perniagaan berkenaan selepas melihat perabot lama yang masih elok dibuang oleh pemiliknya disebabkan oleh kerosakan kecil.

“Idea menjual perabot terpakai bermula apabila melihat perabot lama yang masih elok dibuang sehingga mengakibatkan pencemaran.

“Kadang-kadang perabot dibuang ini masih elok. Hanya perlu baiki sedikit sahaja dan ia nampak baharu semula malah ada yang kelihatan mewah,” kata pemilik kedai Perabot Terpakai Berkualiti Kedah kepada Sinar Harian.

Jualan perabot terpakai mendapat sambutan terutama kepada golongan B40 untuk melengkapi keperluan rumah mereka. Antara perabot yang dijual di kedai berkenaan ialah meja makan dan almari.

Mahasiswi Jual Perabot Terpakai

“Melalui perniagaan ini saya dapat jual perabot pada harga berpatutan dengan kualiti yang memuaskan hati.

“Lagipun kalau nak beli perabot baharu harganya mahal dan ramai orang tidak mampu,” katanya.

Beliau yang pada ketika itu sedang mengikuti pengajian diploma tidak menyangka bisnes diusahakan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Pembukaan kedai di Taman Lembah Bujang Saujana, Merbok didorong oleh jualan yang tinggi selepas beliau memasarkan perabot terpakai yang diambil dari Singapura.

Seiring dengan perkembangan perniagaan yang diusahakan itu, Arliya telah mempelbagaikan produk terpakai dijualnya seperti sofa, permaidani, tilam, peti ais dan televisyen.

Sumber: Sinar Harian