
‘Macam Mayat Hidup’ – Kisah Wanita 24 Tahun Dimasukkan Ke Hospital Selepas Terima Dos Penggalak
Bagi penerima vaksin, kesan sampingan adalah berbeza dan adakalanya sesetengah individu itu tidak menerima apa-apa kesan sampingan langsung.
Telah dilaporkan sebelum ini, pelbagai kesan sampingan teruk dan membahayakan nyawa berlaku di seluruh negara akibat penerimaan suntikan dos penggalak COVID-19.
Namun, angkanya masih kecil dan ianya juga merupakan kes terpencil serta tidak bermakna vaksin itu secara keseluruhannya memberi kemudaratan.
Terkini, seorang pengguna Facebook, Benjamin Al Shariff berkongsi video mengenai seorang wanita yang dilaporkan mendapat kesan sampingan yang agak teruk setelah menerima suntikan dos penggalak COVID-19.

Video berdurasi 33 saat tersebut menceritakan kronologi kejadian yang berlaku pada 24 Januari yang lalu, jam 3.30 petang ketika wanita yang berumur 24 tahun tersebut berada di sebuah klinik.
Visual pertama memaparkan beliau menunjukkan Borang Persetujuan Suntikan Vaksin COVID-19 yang telah ditandatanganinya bagi mendapatkan suntikan dos penggalak AstraZeneca.
2 jam kemudiannya, beliau masih tidak menunjukkan apa-apa kesan sampingan dengan memberi kapsyen, “2 jam lepas booster. Boleh berseronok lagi bawa anak buah main taman.”
Tidak lama selepas itu, beliau mula merasa kesan sampingan dan menjelaskan, “5 jam lepas booster. Tangan dah start menggigil and kebas.”
Selepas video yang menunjukkan tangan beliau telah mula menggigil itu, selang 2 hari kemudiannya, dilihat beliau diusung pula ke dalam sebuah ambulans selepas kondisinya bertambah buruk.
“2 hari lepas booster dah macam mayat hidup dah aku masa ni, memang tak larat, rasa macam hujung nyawa, mampu tawakal saja masa ni,” menurut wanita tersebut.
Kelihatan ketika itu, beliau hanya terbaring dan diusung menaiki ambulans oleh petugas kecemasan yang dipercayai telah dihubungi untuk ke rumahnya.
Seterusnya menunjukkan wanita tersebut hanya terlantar mendapatkan rawatan di hospital dengan ungkapan, “Alhamdulillah Allah masih panjangkan nyawa aku”.
Mendapat lebih 5 ribu komen dan 20 ribu perkongsian, ramai netizen mengambil kesempatan untuk menyuarakan pendapat masing-masing.
“Lepas booster sepatutnya terus berehat di rumah, bukan keluar merayap,” tegur pengguna Facebook yang bergelar E-jann C-maa.
“Doktor dah pesan lepas cucuk balik rehat,” komen Siti Harnani Yusoff.
“Alhamdulillah setakat ni masih diberi kesihatan yang baik. BTW me, my mum and my dad dah ambil booster. Alhamdulillah masih dikurniakan kesihatan yang baik. Cuma sehari dua lepas jab tu adalah kesan sikit sakit tangan dan macam nak demam. So far okey,” jelas Anyss Khairi.
BACA: Bapa Jatuh Sakit Selepas Dos Penggalak, Dr Asri Beri ‘Cadangan’ Pada KKM
Sumber: Benjamin Al Shariff
Trending now



