M For Malaysia Oscar

‘M For Malaysia’ Sertai Kategori Filem Antarabangsa Terbaik Untuk Anugerah Oscar

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Sepanjang berlangsungnya anugerah Akademi, iaitu acara gilang-gemilang Hollywood, setakat ini hanya empat filem yang dihantar untuk dinilai dalam kategori Filem Bahasa Asing Terbaik iaitu Puteri Gunung Ledang, Bunohan, Lelaki Harapan Dunia dan Redha.

Namun, pada tahun ini Malaysia sekali lagi menghantar penyertaan tetapi dalam kategori Filem Antarabagsa Terbaik untuk anugerah Oscar ke-92 dengan filem M for Malaysia arahan Ineza Rousille dan Dian Lee yang berkisar tentang pilihan raya umum ke-14 (PRU14). Ini menjadikan sebuah filem pertama kali berbentuk dokumentari dipilih untuk mewakili negara.

Penyertaan pada kali ini mencatat jumlah tertinggi untuk kategori itu yang meningkat dari 92 negara pada tahun 2017. Antara filem lain dari Asia Tenggara termasuk Memories of My Body (Indonesia), A Land Imagined (Singapura), In The Life of Music (Kemboja) dan Inhuman Kiss (Thailand).

M For Malaysia Oscar
Sumber: Rojak Daily

Memetik laporan Awani, antara filem yang dijangka menang termasuk Parasite dari Korea Selatan yang memenangi anugerah Palme d’Or di Cannes pada Mei lalu. Selain itu, turut dijangka akan menang adalah Pain and Glory (Sepanyol), Les Misérables (Perancis), dan Atlantic dari Senegal.

Kesemua 93 filem itu akan disenarai pendek kepada 10 filem yang bakal diumumkan pada 16 Disember. Keseluruhan pencalonan dalam semua kategori pula akan diumumkan pada 13 Januari 2020 sebelum anugerah itu berlangsung pada 9 Februari.

Mampukah Malaysia tersenarai dalam lima calon terakhir bagi kategori berkenaan memandangkan filem-filem sebelum ini gagal tersenarai dalam pencalonan terakhir?

Sumber: Awani