Tonton Wayang Atas Bot Perancis

Lupakan Pawagam Pandu Lalu, Perancis Kini Perkenal Tonton Wayang Dari Atas Bot

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Perancis Kini Perkenal Tonton Wayang Dari Atas Bot

Kita kini bakal melalui fasa baharu selepas kerajaan bersetuju membenarkan operasi pawagam pandu masuk (drive-in cinema) tetapi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk pengunjung mesti berada dalam kenderaan masing-masing.

Menteri Kanan (Kluster Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan juga bersetuju supaya penjualan makanan dibuat atas talian dan mengambil makanan secara pandu lalu (drive-thru).

BACA: Tonton Dari Dalam Kereta, Wayang Konsep ‘Drive-In’ Pertama Bakal Dibuka Di Malaysia

Trend ini bagaimanapun sudah lama dipraktikkan di luar negara tetapi akibat penularan pandemik COVID-19, menonton wayang dari dalam kereta semakin mendapat tempat kerana orang ramai lebih selesa untuk menjaga penjarakan sosial dan terasa lebih selamat walaupun pawagam dibuka semula.

Jika kita di sini baru hendak memulakan trend tonton wayang dalam kereta, Perancis pula akan memperkenalkan wayang atas air yang mana pengunjung boleh menonton filem yang ditayangkan dari atas bot masing-masing.

Ia dikenali sebagai Le Cinéma sur lÉau atau wayang atas air, pembukaan pertamanya dijangka dilakukan pada 18 Julai ini disepanjang sungai Seine.

Tonton Wayang Atas Bot Perancis

Bagaimana ia beroperasi? Sebanyak 38 bot elektrik digunakan yang mana setiap bot boleh muat sehingga enam orang – jumlah yang ramai dalam satu bot seharusnya dalam kalangan keluarga dan teman rapat.

Penonton disana akan dipersembahkan dengan filem Le Grand Bain, iaitu sebuah filem komedi Perancis dan untuk pembukaan, mereka ditayangkan dengan filem pendek mengenai pandemik COVID-19.

Tidak cukup dengan itu, penonton yang berada diatas daratan juga boleh menonton filem yang sama menerusi pentas yang disediakan.

Konsep yang diperkenalkan ini dijangka berjaya mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 kepada orang ramai yang ingin menonton wayang di pawagam di sana.

Sumber: New York Post