
Luahan Pelajar IPT Lembah Klang – Sara Hidup Tinggi, Hanya Mampu Makan Sekali Sehari
Dua pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di Lembah Klang yang ditemui oleh portal Majoriti telah berkongsi kesukaran mereka untuk meneruskan hidup sebagai pelajar pada waktu ini.
Asifa, 22, yang sedang menuntut di sebuah universiti awam di Selangor berkata, akibat kekangan wang, dia terpaksa menahan lapar dengan makan sebanyak sekali sahaja pada setiap hari.
“Saya terpaksa makan sehari sekali kerana ingin menyimpan duit memandangkan kos sara hidup di sekitar Lembah Klang agak mahal dan hanya mampu mengeluarkan kos sebanyak RM10 untuk makanan setiap hari.
“Saya bukan datang dari keluarga senang, bapa saya seorang pemandu lori manakala ibu hanya suri rumah. Pendapatan bapa tidaklah besar untuk menampung enam adik-beradik di kampung di Sungai Buaya, Perak,” jelasnya yang merupakan seorang penuntut dalam jurusan Bahasa Melayu Profesional.
Menurutnya lagi, setiap semester dia perlu membayar yuran sebanyak RM2,000 dan jumlah tersebut agak besar memandangkan keluarganya tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Saya menjual kuih pada setiap malam untuk menampung kehidupan seharian di universiti dan boleh dapat sehingga RM50 seminggu walaupun tidak banyak tapi sekurang-kurangnya dapat kurangkan bebanan kos harian.
“Saya juga mengambil inisiatif untuk bekerja di kedai runcit pada setiap cuti semester bagi membantu bapa mengurangkan beban keluarga,” tambah Asifa.
Seorang lagi pelajar di sebuah kolej swasta di Shah Alam, yang hanya dikenali sebagai Nurul Huda, 20, pula berkata, dia pernah terfikir untuk berhenti belajar namun terpaksa ditangguhkan kerana tidak mahu mengecewakan ibu bapanya.
“Siapa yang tidak tertekan bila duit di dalam dompet hanya tinggal RM10 untuk hidup selama seminggu, nak minta duit dekat orang tua tidak sampai hati.
“Terpaksalah saya menahan lapar atau berkongsi makanan dengan kawan-kawan senasib. Saya juga bekerja di sebuah kedai makanan segera untuk mengurangkan kos sara hidup,” jelas Nurul Huda yang merupakan seorang pelajar Fakulti Peniagaan dan Perakaunan.
“Ibu bapa saya hanya bekerja sebagai penjual nasi lemak di kampung di Pendang, Kedah dan masing-masing berusia 66 serta 60 tahun. Walaupun di usia tua, mereka tetap bekerja untuk melihat kami tiga beradik berjaya di kemudian hari,” tambahnya lagi.
“Hampir setiap malam saya menangis kerana terlalu penat selain prestasi pelajaran juga agak merosot akibat gagal fokus di kelas,” luah Nurul Huda.
BACA: Syukur! Pelajar IPT Kini Boleh Nikmati Menu Makanan Berkualiti Serendah RM3.50!
Sumber: Majoriti