Scan Kod QR Kaya

‘Lu Scan, Lu Kaya!’

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Beberapa penduduk di daerah Segamat, Johor gempar dengan tersebarnya risalah seakan-akan naskah buku yang sengaja ditinggalkan di hadapan rumah mereka baru-baru ini.

Pengedaran buku tersebut dipercayai dilakukan oleh satu sindiket penipuan yang kini sedang bergiat aktif bagi memperdaya orang ramai di sekitar negeri Johor.

Pada buku tersebut, terdapat arahan yang tertulis ‘Lu Scan, Lu Kaya!’ yang kononnya menawarkan kekayaan bagi individu yang mengimbas kod QR yang disertakan.

Seorang pengguna Facebook, Cheq Berry dari pekan Chaah, Segamat telah membuat hantaran berikut bagi menyedarkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan taktik terbaharu ‘scammer’ tersebut.

1 Scan Kod QR Kaya

Orang ramai terutama sekali kanak-kanak dinasihatkan agar mencontohi sikap Cheq Berry yang segera membuang buku tersebut ke dalam tong sampah!

Ini bagi mengekang penularan kod QR tersebut agar tidak tersebar dengan lebih luas seterusnya memperdaya mereka yang hendak kaya dengan jalan mudah.

Dikhuatiri dengan mengimbas kod QR tersebut, maklumat peribadi pengguna akan terdedah kepada pihak yang tidak bertanggungjawab dan telefon bimbit mereka juga berisiko untuk digodam.

Setakat ini, masih belum ada apa-apa makluman rasmi dari pihak berkuasa berhubung perkara ini. Namun, orang ramai diingatkan supaya lebih berwaspada serta memaklumkan rakan-rakan serta saudara-mara yang lain mengenainya.

Setakat ini juga, masih belum ada mana-mana pihak yang tampil mengaku pernah terpedaya atau telah menjadi kaya-raya setelah mengimbas kod QR tersebut.

BACA: “Scammer Islamik” – Lebih Bahaya Dari Macau Scam?

Sumber: Facebook Cheq Berry