
Longgokan oBike Jadi Mimpi Ngeri DBKL
Sejak perkhidmatan perkongsian basikal iaitu oBike diperkenalkan di Malaysia pada 2017; bertujuan memberi kemudahan kepada orang ramai untuk bergerak dan juga bersenam, timbul isu basikal berkenaan yang menjadi mangsa vandalisme oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Mereka yang menjadikan oBike sebagai harta benda sendiri, dirosakkan serta dijadikan sebagai alat ganti untuk basikal lain dan akhirnya dibuang apabila sudah rosak.

Berdasarkan laporan The Star, longgokan basikal oBike yang telah rosak di depot Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semakin meningkat dan membimbangkan. Longgokan basikal tersebut bukanlah sesuatu yang perlu ditonjolkan di bandar pesat ini.
Malah, impian sebuah bandar raya yang kurang kenderaan bermotor di jalan raya dan memperbanyakkan pengangkutan awam serta laluan basikal telah menjadi mimpi buruk bagi pihak DBKL.
Pegawai-pegawai DBKL terpaksa menjalankan tugas baharu dengan mengumpul basikal terbengkalai di merata-rata tempat. Memang menyakitkan mata apabila ada sahaja basikal kuning itu ditinggalkan di tempat yang tidak sepatutnya seperti di longkang, sungai dan lorong yang mencacatkan pemandangan kota raya.

Apakah punca berlakunya vandalisme ini?
Sebahagian masalah ini timbul kerana kekurangan tempat letak basikal yang sesuai dengan sistem yang kurang mantap menyebabkan pengguna tidak bertanggungjawab dengan meninggalkan basikal di merata tempat.
Ironinya, syarikat yang menggelar diri sebagai simbolik untuk memelihara alam sekitar, kini menjadi punca pencemaraan darat kerana basikal mereka. Malah, mereka juga sukar dihubungi selepas vandalisme ini berlaku.
Aplikasi oBike masih wujud lagi di Android dan Apple Store tetapi banyak aduan daripada pengguna bahawa mereka tidak mendapat semula bayaran deposit.
Perkhidmatan ini telah berada di 24 negara, termasuk Australia, Thailand, Taiwan dan beberapa negara Eropah. Walau bagaimanapun, ia telah menjadi masalah di beberapa tempat disebabkan oleh denda yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan untuk mengumpul basikal terbengkalai.
Justeru, adakah kegagalan projek basikal ini berpunca daripada syarikat itu sendiri atau pengguna yang tidak bertangungjawab?
Sumber: The Star