
Loji Kumbahan Jadi Tumpuan Orang Ramai Bergambar Walaupun Berbau Busuk
Loji Kumbahan Jadi Tumpuan Orang Ramai Bergambar Walaupun Berbau Busuk.
Menjadi satu norma baharu di dalam kehidupan masyarakat kini, apabila sesuatu tempat tular, pasti ramai berpusu-pusu terjah ke tempat tersebut tanpa mengetahui latar belakang cerita.
Baru-baru ini, tular sebuah pemandangan indah yang dipenuhi dengan kehadiran keladi bunting dan ia menjadi suatu tarikan untuk orang ramai bergambar.
Namun, siapa sangka disebalik foto-foto indah yang dipamerkan di media sosial itu rupanya berlokasi di sebuah loji kumbahan Jalan Bakar Sampah, Paya Nahu, Sungai Petani.
Paling tidak menjangkakan, mereka yang hadir di kawasan itu sanggup menahan nafas demi mendapatkan gambar menarik dikelilingi bunga yang tumbuh di permukaan kolam.
Ya, bau busuk bukan penghalang kepada orang ramai untuk mengabadikan foto di situ untuk dimuat naik di media sosial.
Difahamkan, hamparan bunga berwarna ungu itu merupakan keladi bunting yang tumbuh sejak beberapa tahun lalu namun kali ini ia meliputi hampir keseluruhan permukaan kolam sekali gus menyerlahkan pemandangan yang indah.

Namun, akibat dibanjiri orang ramai selepas tular mengenai kawasan itu, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) telah pun memasang pita keselamatan sementara bagi menghalang orang ramai daripada memasuki jambatan konkrit menuju injap pintu kolam.
Ia sebagai langkah untuk mengelak sebarang perkara buruk yang kemungkinan menimpa orang ramai ketika mengambil gambar.
Walaupun kelihatan amat cantik dilihat, ia boleh menjadi masalah bagi sesetengah ekosistem jika pertumbuhannya dibiarkan tanpa kawalan dan boleh menjejaskan aliran air dan menyekat sinaran matahari.
Menerusi NST, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata keladi bunting itu ditanam oleh MPSP sebagai penyelesaian semula jadi dan lebih murah bagi menangani isu bau busuk di kolam kumbahan.
Kolam takungan najis pun boleh jadi tular kalau sudah cantik.
Trending now



