
Logo Halal Ikut Warna Berupaya Menjahanamkan Lagi Usahawan Islam
Umat Islam di Malaysia ketika ini masih lagi bergelut dengan penganiayaan dan manipulasi pihak tertentu yang sengaja mengelirukan pengguna dengan logo halal yang diragui.
Justeru, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan atau lebih mesra dengan panggilan Toqqi pernah membawa perhatian umat Islam di Malaysia untuk bangkit memberi sokongan terhadap Kempen Tukar Logo Halal Malaysia yang dibawakan menerusi kempen Buy Muslim First (BMF).
BACA: BMF Cadang Tukar Logo Halal Malaysia Kepada Tiga Warna
Dalam kempen ini, logo halal dikategorikan kepada 3 warna bagi membezakan syarikat yang dimiliki 100% oleh orang Islam, kerjasama di antara orang Islam dan bukan Islam dan juga yang 100% milik bukan Islam.
Usaha murni ini rata-ratanya disambut baik oleh umat Islam di Malaysia. Namun, masih ada pendapat yang mengatakan kempen itu kurang sesuai malah berupaya untuk menjahanamkan lagi usahawan Islam yang lain.
Seperti yang disuarakan oleh Zamir Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif GM Peladang Sdn. Bhd. yang telah menyenaraikan 5 sebab berikut di Facebooknya sebagai tanda tidak setuju dengan kempen tersebut:
HALAL Mengikut Warna Agama
‘With all due respect’..
Tetapi saya TIDAK SETUJU.
- Halal adalah halal. Ia satu tahap piawaian. Di dalam jenama Halal itu adalah cerita tawaran nilai iaitu bersih, suci, selamat dan mematuhi syarak. Jika ia memenuhi aspek ini, maka ia adalah halal tanpa perlu kluster agama. Usahawan perlu dibentuk kepada elemen pasaran terbuka.
- Walaupun syarikat bukan Islam, tetapi ramai pekerjanya adalah Islam bahkan Melayu. Jika polisi ini menjejaskan pendapatan hanya kerana pemiliknya dilahirkan dalam agama dan kaum berbeza, ia adalah satu bentuk ketidakadilan. Bahkan boleh memangsakan pekerja Islam di situ jika berlaku penurunan jualan mendadak sedangkan semua aspek syarat Halal dipatuhi.
- ‘Dummy’. Perlaksanaan boleh menjadi kosmetik. Syarikat boleh memasang proksi Melayu Islam sepenuhnya jika mahu hanya kerana ingin penuhi satu dasar afirmatif. Sampai bila Melayu Islam ini hanya sebagai tumpang nama. Ia merendahkan maruah bangsa Melayu dan Islam itu sendiri. Ini tidak menjadikan Melayu Islam bangsa kompetensi.
- Pivot ekonomi jangka panjang yang tidak menguntungkan. Syarikat perniagaan sifatnya berkembang. Ada yang boleh pergi kepada pengapungan saham dan mengundang pelaburan. Pelabur akan jadi tidak berminat kerana langsung tidak boleh memiliki ‘share’ hanya kerana bukan Islam perlu menggunakan logo berlainan walaupun halal. Ini merugikan perniagaan orang Islam dan Melayu itu sendiri khasnya dari sudut pasaran modal untuk pergi ke tahap lebih besar.
- Lesen ‘forgiven’. Usahawan Islam dan bumiputera khususnya, secara jangka panjang berpotensi mengendurkan ‘quality control’ proses pembuatan produk. Ia kerana tetap juga dipayungi dengan Logo Halal di laluan khas berbeza.
Sedangkan syarikat bukan Islam yang pegang logo Halal kluster lain, setinggi mana pun tahap mutu proses mereka meningkat, tetap ia berada di ruang pasaran berbeza kerana pemilik tidak bertauhid kepada Allah. Ini hanya merosakkan nama Islam itu sendiri di masa akan datang jika mutu produk Islam 100% berbeza dengan mutu produk Islam 50% yang dibezakan mengikut warna.
Jangan lorongkan bisnes kepada wajah, tema dan pemahaman;
‘Tidak apa produknya mahal, kurang mutu, atau tidak sedap’. Tetapi ia orang Islam dan Melayu’. Pemiliknya di kemudian hari tetap masuk syurga’.
Idea ‘affirmative’ seperti ini akan menjerat kualiti peniaga Islam di kemudian hari. Bayangkan di suatu masa nanti logo ‘Halal Milik Orang Islam 100%’ juga terlekat imej mahal, kurang sedap, kurang menarik, sukar dicari di premis kedai popular, mudah basi, dan mudah rosak. Ia akan disinonimkan oleh pengguna dengan jenis logo.
Ini akan menjahanamkan terus usahawan Islam yang menggunakan logo sama.
Minta maaf To’Ki.
Tetapi saya tidak bersetuju.
Demi Islam dan Melayu.
Sumber: Facebook Zamir Ghazali
Trending now



