‘LockDown’: Ini Yang Akan Berlaku Jika Sebuah Negara Kuat Kuasa Perintah Berkurung

Apa yang akan berlaku sekiranya sesebuah negara mengumumkan perintah lockdown?

Wabak koronavirus yang sudah menular ke 157 buah negara dan satu kapal persiaran Diamond Princess telah diumumkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beberapa buah negara telah mengumumkan perintah lockdown antaranya Itali, Sepanyol, Denmark, Perancis dan FIlipina.

Apa yang akan berlaku sekiranya sesebuah negara itu mengumumkan lockdown?

Lockdown: Merupakan situasi berkurung yang mana rakyat tidak dibenarkan masuk atau keluar dari kawasan sesuka hati atas sebab kecemasan.

Bergantung kepada negara itu sendiri, pendekatan lockdown adalah berbeza mengikut kesesuaian keadaan terkini.

Itali

Seperti contoh, Itali yang merupakan negara Eropah terbesar dengan kes jangkitan sudah mencecah 24,747 dengan kadar kematian sebanyak 1,809 mengamalkan pendekatan lockdown kepada seluruh kawasan umum termasuklah sekolah, universiti, muzium, panggung wayang, kelab malam dan restoran ditutup bermula 10 Mac hingga 3 April ini.

Apa Akan Berlaku Jika Sesebuah Negara Umum Perintah Lockdown 2
Sumber: liputan 6

Sekatan perjalanan dilakukan namun kebenaran diberikan untuk pekerjaan, keperluan yang mendesak serta kesihatan.

Sekiranya ada yang keluar tanpa alasan serta matlamat yang jelas, mereka akan dikenakan hukuman denda sehingga tiga bulan penjara atau pun USD230 (+-RM989) walaupun pengangkutan awam seperti kereta api masih lagi menjalankan operasi seperti biasa.

Denmark

Denmark telah menutup sempadannya dan melarang aliran keluar masuk dari/ke negara bagi mengelakkan penularan jangkitan berlaku. Hanya mereka yang mempunyai alasan kukuh seperti warganegara sahaja dibenarkan untuk memasuki Denmark.

Perancis

Perancis telah menutup kawasan awam termasuklah di Menara Eiffel mulai 15 Mac lalu selepas mencatatkan 5,423 kes dengan angka kematian seramai 127 orang.

Apa Akan Berlaku Jika Sesebuah Negara Umum Perintah Lockdown 1
Sumber: Forbes

Kerajaan Perancis juga melarang rakyatnya untuk berhimpun dalam perhimpunan yang melibatkan lebih daripada 100 orang peserta. Malah Perancis turut meminta agar majikan membenarkan pekerja mereka untuk bekerja dari rumah sebagai langkah berjaga-jaga.

Filipina

Di Filipina, pada 12 Mac lalu, Presiden Rodrigo Duterte telah mengumumkan bahawa semua pengangkutan darat, laut dan udara yang keluar masuk dari Manila akan dihentikan selama 30 hari, iaitu sehingga pertengahan April nanti.

Jika Malaysia diumumkan juga perintah lockdown, apa yang boleh kita andaikan akan berlaku?

Sekiranya Malaysia diumumkan perintah lockdown, tak perlu khuatir dan risau kerana lockdown adalah sebagai salah satu langkah pencegahan daripada jangkitan berlaku dengan lebih meluas.

Banyak aktiviti yang boleh anda lakukan semasa perintah lockdown berlangsung. Antaranya:

  1. Bersenam
  2. Meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.
  3. Menyediakan bekalan secukupnya, namun jangan lakukan pembelian panik.
  4. Bersihkan kawasan rumah.
  5. Jangan terlalu menyendiri; berhubung dengan rakan-rakan menerusi laman media sosial mahupun panggilan telefon.