Lipas Kini Makin Kebal, Sukar Dibunuh Dengan Racun Serangga – Kajian

Lipas Kebal Racun Serangga

Dalam banyak-banyak serangga yang ditakutkan orang ramai ialah lipas lebih-lebih lagi apabila serangga ini mula ‘terbang’.

Lipas antara serangga perosak yang sering ditemui dalam perabot seperti kabinet atau laci terutama di ruang dapur. Serangga ini gemar bertelur di tempat tersorok, gelap dan lembap termasuk di celah atau sudut perabot selain meninggalkan najis di tempat membiak.

Bagi mengurangkan kehadiran serangga ini di kediaman, setiap isi rumah pastinya ada sekurangnya sebotol racun serangga. Bagaimanapun, ini khabar kurang menyenangkan kepada mereka yang fobia dengan lipas (katsaridaphobia) kerana sebuah kajian terkini mendapati lipas semakin ‘kebal’ terhadap pelbagai racun serangga menyebabkan ia sukar untuk dibunuh.

Lipas Kebal Racun Serangga
Sumber: Ecr

Menurut Daily Mail, lipas Jerman iaitu spesies paling biasa dalam dunia serangga mula membina ketahanan yang tinggi terhadap racun serangga.

Menerusi kajian yang dijalankan selama enam bulan, penyelidik bukan sahaja gagal mengurangkan bilangan lipas malah ia dilihat mempunyai ketahanan enam kali lebih tinggi terhadap gabungan pelbagai racun serangga. Fuh!

Salah seorang penyelidik, Profesor Michael Scharf dari University Purdue berkata, ia merupakan cabaran yang manusia tidak sedar terhadap serangga itu. Ia membina ketahanan terhadap beberapa kelas racun serangga menyebabkan ia sukar dikawal hanya dengan menggunakan bahan kimia sahaja.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Laporan Saintifik itu memfokuskan spesies Blatella germanica L yang boleh ditemui di seluruh dunia.

Sumber: Daily Mail