
Lihat Inovasi Jepun Bina Terowong Bawah Tanah Setinggi Patung Liberty Untuk Tangani Banjir
Lihat Inovasi Jepun Bina Terowong Bawah Tanah Setinggi Patung Liberty Untuk Tangani Banjir.
Setiap negara ada penyelesaian tersendiri dalam menangani masalah banjir. Misalnya di Kuala Lumpur ramai menyedari kewujudan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) yang membantu menyimpan air apabila berlaku peningkatan mendadak pada Sungai Klang dan Sungai Gombak.
Kejadian banjir pada hujung minggu lalu telah mencatatkan rekod yang mana Terowong SMART telah berjaya melencongkan sebanyak 5 juta meter padu air banjir daripada menenggelamkan Kuala Lumpur.
Jika Kuala Lumpur ada Terowong SMART, di Tokyo juga memiliki sistem pertahanan banjir yang dibina sebagai terowong bawah tanah.
Jepun juga mempunyai permasalahan banjir di Tokyo yang sudah berlaku sejak sekian lamanya. Bagi menangani bencana alam seiring dengan perubahan iklim, Jepun membina terowong bawah tanah yang dipanggil ‘Parthenon’.
Ia dinamakan Metropolitan Area Outer Underground Discharge Channel (MAOUDC) yang berperanan melindungi Tokyo dan kawasan sekitarnya dari bencana banjir.
Fakta mengenai MAOUDC
1. Dipanggil ‘Parthenon’ bawah tanah Jepun, ianya sebuah kompleks yang berperanan melindungi Tokyo daripada banjir.
2. Strukturnya sangat besar sehingga mampu memuatkan Patung Liberty. Terletak di antara Showa di Tokyo dan Kasukabe di wilayah Saitama.
3. Tiang seberat 500 tan berketinggian 60 kaki yang menyokong kawasan kosong untuk takungan air seluas dua padang bola.
4. Terdapat 5 corong tangki berbentuk silinder yang sangat besar hinggakan mampu memuatkan sebuah kapal angkasa.
5. Telah membantu mengurangkan jumlah rumah yang terjejas akibat kerosakan air di kawasan berdekatan sekitar 90 peratus.
6. Projek ini menelan belanja kira-kira RM8.46 bilion untuk menyiapkan terowong pada kedalaman lebih 50 meter.
7. Pembinaan projek MAOUDC mengambil masa selama 13 tahun, sebelum mula beroperasi secara rasmi pada tahun 2006.
8. MAOUDC diiktiraf sebagai salah sebuah ‘engineering marvels’ terunggul peradaban dunia moden – berjaya mengelakkan kejadian banjir daripada melanda bandar terbesar Asia.
9. Jepun berjaya menjimatkan kira-kira USD$1.39 bilion dalam kos pembersihan bencana setakat ini.
Sumber: Media Permata, Facebook The Patriots 2.0