Lihat Bagaimana Negara Lain Tangani Kes Pemandu Mabuk Yang Menyebabkan Kematian

Cara Negara Lain Tangani Pemandu Mabuk

Kerajaan semalam bersetuju akan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan memandu secara berbahaya dan di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.

Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong, berkata pindaan undang-undang itu membabitkan denda lebih tinggi, termasuk hukuman penjara sehingga 20 tahun terhadap pemandu mabuk.

Bagaimanapun, hukuman itu dilihat masih tidak cukup setimpal.

Memetik laporan Sinar Harian, pensyarah di Jabatan Amalan Perundangan, Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Abdul Rani Kamarudin berkata pemandu mabuk yang mengakibatkan kematian pengguna jalan raya lain perlu diwajibkan membayar pampasan kepada keluarga mangsa bagi menjamin kesinambungan hidup selepas kehilangan insan tersayang.

Hukuman sebegini dilaksanakan di Thailand yang mana pesalah bukan sahaja perlu membayar denda, malah turut perlu membayar sagu hati wang tunai kepada setiap keluarga mangsa.

Dalam pada itu, selain dikenakan hukuman berat, pemandu mabuk yang didapati bersalah juga perlu menjalani program khidmat masyarakat.

Seperti di Taiwan, mereka mengenakan hukuman paling berat bagi pemandu mabuk yang menyebabkan kematian dengan melaksanakan hukuman gantung sampai mati. Namun, hukuman tersebut mendapat tentangan hebat daripada kumpulan hak asasi menyebabkan ia belum dapat dilaksanakan.

Cara Negara Lain Tangani Pemandu Mabuk
Sumber: Mynewshub

Manakala Vietnam mengenakan denda bayaran dan digantung lesen selama dua tahun untuk penunggang motosikal mabuk. Dengan keputusan yang dibuat kerajaan, industri penjualan arak merudum dan ramai penjual merungut hasil jualan mereka jauh berkurang.

Undang-undang Singapura pula menetapkan pesalah kali pertama dikenakan denda RM20,500 (AS$5,000) atau penjara enam bulan. Bagi kesalahan kedua, denda dan tempoh penjara boleh meningkat 500 kali ganda!

Finland dan Sweden pula terus menjatuhkan hukuman setahun penjara dan kerja-kerja buruh kasar kepada pemandu mabuk manakala Russia pula menggantung lesen mereka bukan untuk setahun atau 10 tahun sebaliknya selama-lamanya.

Kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk agak tinggi di Afrika Selatan. Kerajaan negara tersebut turut bertindak tegas dengan mengenakan hukuman denda sebanyak AS$10,000 (RM40,000) atau penjara 10 tahun dan dalam sesetengah kes, kedua-duanya sekali.

Negara Islam seperti UAE dan Arab Saudi sememangnya mengharamkan arak, pemandu mabuk bukan sahaja boleh dipenjara, didenda malah disebat di khalayak ramai juga.

Malaysia pada masa ini, pesalah jalan raya yang memandu secara berbahaya dan di bawah pengaruh alkohol dikenakan hukuman di bawah kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000.

Sumber: Sinar Harian